KUALA LUMPUR – Sebuah kereta PROTON jenis X50 bakal menanti pelanggan setia jenama terkenal, Rizman Ruzaini, RR Royalties, yang bertuah untuk diraikan bersama tersayang pada lebaran Aidilfitri tahun ini.
RR yang dikelola pereka fesyen hebat, Rizman Nordin dan Ruzaini Wan Jamil, kali ini menawarkan pelbagai hadiah raya menarik termasuk kereta dengan nilai keseluruhan RM300,000 menerusi peraduan RR Beli dan Menang, Koleksi RR Raya 2023.
Lebih menarik lagi, kereta terbabit mendapat sentuhan pengubahsuaian oleh Rizman Ruzaini sendiri.
Pastinya, pemenang berkenaan paling bertuah akan menjadi satu-satunya individu di dunia yang memiliki kereta sentuhan Rizman Ruzaini secara eksklusif.
Ketua Pegawai Eksekutif Rizman Ruzaini, Rizman Nordin berkata, selain Proton X50 sebagai Hadiah Utama, turut ditawarkan sebuah Vespa yang mendapat sentuhan sama untuk Hadiah Kedua, iPad Pro (Ketiga), iPhone 14 (Keempat), Apple Watch (Kelima) selain lima hadiah saguhati berupa baucar tunai bernilai RM1,000 untuk pembelian barangan RR.
“Caranya mudah saja, RR Royalties hanya perlu membuat pembelian koleksi RR Raya 2023 dengan minimum RM500 dalam satu resit.
“Pembelian boleh dibuat di semua platform Rizman Ruzaini dan jangan lupa simpan resit sebagai bukti pembelian.
“Kemudian, gayakanlah koleksi yang dibeli itu, muat naik gambar atau video atau reels gaya anda di semua platform Instagram anda masing-masing bersama kapsyen, ”Saya memilih untuk Raikan Raya saya Bersama Rizman Ruzaini kerana……”, diikuti tanda pagar #RRBELIDANMENANG dan #RRRAYA2023,” katanya menerusi kenyataan ini.
Katanya, pemenang akan dipilih berdasarkan gambar/video/reels kreatif dan sambungan kapsyen yang menarik.
“Bukan sekadar mahu RR Royalties beraya dengan rekaan Rizman Ruzaini, kami juga mahu meraikan mereka di Hari Raya ini dengan penghargaan hadiah istimewa sebagai tanda terima kasih kami atas sokongan RR Royalties sehingga membolehkan jenama ini bertahan selama lebih 17 tahun dalam industri,” katanya.
Tambahnya lagi, jenama Rizman Ruzaini sangat sinonim dengan baju raya.
“Inilah antara faktor utama mengapa mereka memilih bulan Syawal untuk menawarkan hadiah-hadiah menarik ini.
“Bukan soal harga hadiah tapi ia tentang nilai menghargai dan berkongsi yang menjadi identiti syarikat kami sendiri,” katanya.
Beliau berkata, peraduan berkenaan sudah pun bermula pada 18 Mac lalu itu, berlangsung selama sebulan sempena pelancaran Koleksi RR Raya 2023.
Pemenang akan diumum secara pada 20 Mei bersamaan 30 Syawal, iaitu hari terakhir sambutan Aidilfitri.
Sesi penyerahan hadiah akan dibuat pada Majlis Rumah Terbuka RR.