BANGI – Sebanyak 3.7 peratus lagi diperlukan Malaysia untuk mencapai sasaran 10 peratus rakyat terlibat dalam ilmu latihan asas pertahanan awam.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, negara masih lagi terkebelakang dalam mencapai sasaran yang ditetapkan oleh badan peringkat antarabangsa, International Civil Defense Organization (ICDO).
“Seperti yang ditetapkan, 10 peratus sasaran ditetapkan ICDO, supaya setiap negara diberi latihan asas pertahanan awam.
“Untuk pengetahuan, negara kita setakat ini, pada kadar (penduduk) 2.1 juta orang, 6.3 peratus terlibat dalam usaha ini. Perjalanan kita masih jauh.
“Bukan sahaja 2.1 juta ini dapat kita kembangkan, tapi memastikan dapat membentuk pasukan yang bukan sahaja bergantung kepada APM, malah menjadi penggerak usaha menyemarakkan kesiapsiagaan menghadapi bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Pertahanan Awam (APM) Ke-71 di Bangi Avenue Convention Centre (BACC).
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed.
APM adalah sebuah pasukan yang mempunyai pengiktirafan antarabangsa melalui ICDO, Geneva pada 2010.
Sementara itu, Armizan berkata, kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah menyalurkan peruntukan RM330 juta kepada 14 negeri, dengan penerima tertinggi dan utama adalah Kelantan dan Terengganu masing-masing RM68 juta, sepanjang tahun 2022 hingga 2023.
“Negeri yang paling banyak menerima peruntukan ini sebab jumlah mangsa bencana lebih tinggi berbanding negeri lain,” katanya.
Terdahulu, APM memperkenalkan Civil Defence Auxiliary
(CDA) yang merangkumi 12 kluster pengkhususan sesuai dengan peranan yang boleh dilaksanakan oleh CDA bagi memperkasa fungsi Pertahanan Awam sepertimana yang tertakluk dalam Akta 221.
Antara tiga skop CDA adalah, Skop Latihan (contoh: Latihan Generik/Umum atau Latihan Fungsional); Skop Kepakaran (contoh: IT dan Telekomunikasi, Mekanikal dan Elektrikal, Logistik, Medikal
dan Kesihatan, Penyelamatan, Sivil dan Geologikal dan Media); dan
Skop Pelbagai (contoh: Pengurusan Kem dan Pusat Perlindungan, WASH, Makanan,
Khidmat Kemanusiaan dan lain-lain).
Pada majlis sama, Nota Persefahaman antara Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM) telah dimeterai bagi kerjasama pemerkasaan kesiapsiagaan menghadapi bencana di peringkat komuniti.
Majlis hari ini turut melibatkan Penganugerahan Bintang dan Pingat Pertahanan Awam, Majlis
Pemakaian Pangkat, Penyerahan Watikah Pegawai Kehormat dan Pegawai Bersekutu APM
melibatkan seramai 96 orang.