BANGI – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita disaran untuk menyertai Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebagai penggerak agensi sukarelawan lebih efisien.

Keterlibatan itu, bukan sahaja meningkatkan bantuan bencana malah kerja sukarelawan menjadi lebih menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu telah diusul pada pimpinan APM.

“Saya dah sebut kepada pimpinan APM untuk ‘engage’ (bekerjasama) dengan NGO-NGO untuk bersama APM.

“Satu pendekatan yang baik jika NGO wanita terlibat sebagai penggerak APM, ” katanya pada sidang media pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Pertahanan Awam (APM) Ke-71 di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), di sini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed.

Pada majlis sama, APM dan Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM) memeterai Nota Persefahaman bertujuan pemerkasaan kesiapsiagaan menghadapi bencana di peringkat komuniti.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mewujudkan jaringan perkongsian kepakaran dan kemahiran ke arah memperkasa aspek pengurusan dan tadbir urus dalam menghadapi
bencana.

Antara peranan yang akan dimainkan oleh pihak MDDM ialah membantu dalam pelaksanaan Program Kampung Siaga 221, pelaksanaan program, latihan, kursus dan aktiviti bagi memantapkan lagi kesiapsiagaan awam serta pelaksanaan pertahanan awam.

Sementara itu,, pada majlis sama, APM memperkenalkan Civil Defence Auxiliary (CDA) merangkumi 12 kluster pengkhususan sesuai dengan peranan yang boleh dilaksanakan oleh CDA bagi memperkasa fungsi APM sepertimana tertakluk dalam Akta 221.

Tiga skop CDA adalah, Skop Latihan (Latihan Generik/Umum atau Latihan Fungsional); Skop Kepakaran (IT dan Telekomunikasi, Mekanikal dan Elektrikal, Logistik, Medikal dan Kesihatan, Penyelamatan, Sivil dan Geologikal dan Media); dan Skop Pelbagai (Pengurusan Kem dan Pusat Perlindungan, WASH, Makanan,
Khidmat Kemanusiaan).

Majlis hari ini turut melibatkan Penganugerahan Bintang dan Pingat Pertahanan Awam, Majlis Pemakaian Pangkat, Penyerahan Watikah Pegawai Kehormat dan Pegawai Bersekutu APM melibatkan seramai 96 anggota.