KUALA SELANGOR, 25 Mac 2023 – Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan inisiatif Bakul Rahmah melalui Program Payung Rahmah yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada awal tahun ini. Inisiatif Bakul Rahmah ini direalisasikan bagi membantu kumpulan miskin tegar B10 (pendapatan kurang daripada RM2,500) dan mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh golongan ini.

Inisiatif Bakul Rahmah dilancarkan melalui Majlis Pelancaran Penyerahan Bakul Rahmah Peringkat Negeri Selangor Tahun 2023 bertempat di perkarangan Pasaraya Lotus’s, Kuala Selangor. Kerajaan Negeri Selangor telah diberi penghargaan untuk merasmikan majlis ini dan sesi perasmian turut dihadiri bersama Tuan Mohd Zuhairi bin Mat Radey, Pengarah KPDN Selangor, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, Setiausaha Politik Kanan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, YB Puan Juwairiya binti Zulkifli Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati, YB Mohd Zawawi bin Ahmad Mughni Exco Agama Islam, Pengguna, dan Industri Halal Kerajaan Negeri Selangor, YB Ahli-Ahli Parlimen, YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ketua-ketua Jabatan dan Agensi/ Persekutuan dan Negeri.

Kerajaan Negeri Selangor memberikan komitmen dan kerjasama strategik kepada
KPDN Selangor dalam menggerakkan inisiatif Bakul Rahmah ini. Sokongan dan
penglibatan daripada Rakan Strategik, Pemain Industri (pasar raya), agensi Kerajaan, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya turut menjadi komponen penting menjayakan inisiatif Bakul Rahmah. Inisiatif Bakul Rahmah wajar digerakkan secara holisitik menerusi penglibatan pelbagai pihak yang berupaya dan relevan menggerakkan inisiatif bersifat people centric ini.

Kerajaan Negeri Selangor bersama KPDN Selangor amat berbesar hati menerima sumbangan berbentuk makanan harian daripada mana-mana pihak untuk diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah dengan lebih berkesan, bersasar dan berkesan. Harapan ini juga, telah disambut baik secara proaktif oleh penyumbang Yayasan Global Mesra dan beberapa penyumbang dana untuk inisiatif Bakul Rahmah. Sejumlah 11,000 kotak sumbangan diterima dan akan diagihkan kepada 22 parlimen di sekitar Selangor (setiap parlimen mendapat 500 kotak). Sumbangan adalah berbentuk makanan asas pengguna.

Sumbangan yang diterima pada hari ini dijadikan simbolik penyerahan Bakul Rahmah kepada wakil-wakil Parlimen yang hadir dan 15 penerima sumbangan. Simbolik penyerahan Bakul Rahmah ini adalah untuk menterjemahkan komitmen yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor bersama KPDN Selangor untuk mengagihkan sumbangan yang diterima kepada Ketua Isi Rumah (KIR) di Selangor yang memerlukan dan terkesan dengan cabaran kos sara hidup.

Simbolik penyerahan Bakul Rahmah ini merupakan acara kemuncak majlis ini dengan disusuli acara Flag Off Jentera Bakul Rahmah yang mengagihkan sumbangan daripada penyumbang untuk diagihkan kepada penerima yang layak dan bersasar.

Edaran bubur lambuk kepada pengunjung bazar Ramadan turut diadakan dan pada masa yang sama sesi walk-about di sekitar bazar dijalankan. Tinjauan dibuat kepada penandaan harga, keberadaan bekalan, kedudukan harga barangan makanan di bazar Ramadan serta berpeluang mendekati pengguna Selangor yang membeli belah di bazar Ramadan untuk mendapatkan reaksi balas berhubung kos sara hidup di Selangor. Pada masa yang sama, ia sebagai isyarat kepada peniaga di Bazar Ramadan untuk jalankan urus niaga secara beretika dan mewujudkan ekosistem yang harmoni dengan pengguna di Selangor.

Pelaksanaan Inisiatif Bakul RAHMAH ini tentu sekali akan dilaksanakan secara terancang dan berperingkat di seluruh Negeri Selangor dan dijangka akan memberikan manfaat kepada sejumlah angka yang pastinya menyumbang kepada sasaran yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mencapai sejumlah 37,373 Ketua Isi Rumah (KIR) kumpulan miskin tegar dan golongan sasar secara bulanan di seluruh Negara. Komitmen Kerajaan Negeri Selangor bersama KPDN Selangor adalah untuk menyumbang jumlah penerima Inisiatif Bakul Rahmah ini supaya sasaran Kerajaan Pusat/ Persekutuan dapat dicapai setiap bulan.

Inisiatif Bakul Rahmah ini wajar disambut baik dan Kerajaan Negeri Selangor berharap KPDN Selangor akan terus membantu dan membimbing mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyumbang di bawah inisiatif Bakul Rahmah ini. Penglibatan daripada pihak industri , pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan merupakan satu tanggungjawab sosial korporat yang wajar diberi publisiti meluas supaya dapat mempengaruhi lebih ramai penyumbang Bakul Rahmah di Selangor.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Program Food Bank Malaysia di talian hotline 03- 88825860/6960 atau melalui emel kepada sekretariatfoodbank@kpdn.gov.my.

Leave a Reply