AMPANG – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Pemilihan nama Seri Melayu yang dipilih sebagai tema bufet Ramadan, tahun lalu menjadi titik permulaan baik kepada pemilik Culture Events Wedding Avenue, Syed Budriz Syed Mahmood.
Ini kerana, nama ini membawa tuah kepada syarikat sehingga berjaya menarik ramai peminat setia juadah berbuka puasa ala kenduri kahwin dengan resipi warisan Melayu.
Bufet Seri Melayu sebelum ini beroperasi di sebuah hotel berhampiran, namun kali ini memilih Flamingo Plaza@Flamingo Hotel, Jalan Ampang sebagai lokasi baharu.
Syed Budriz berkata, faktor pemilihan nama Seri Melayu mula tercetus daripada senarai nama tema untuk pengusaha bufet, tahun lalu.
“Daripada senarai itu saya tertarik dengan nama Seri Melayu yang sesuai dengan kepakaran kami dalam menguruskan majlis kenduri kahwin sejak 13 tahun lalu.
“Pada awal seminggu sahaja kurang sambutan, namun selepas itu meletup dengan tempahan sehingga 200 orang sehari dan perolehan pendapatan cecah RM290,000 sepanjang Ramadan.
“Bagaimanapun nama jenama sebenarnya tidak penting, apa yang lebih utama adalah komited kepada pelanggan, beri mereka apa yang mereka perlukan, apa yang mereka mahukan, pasti mereka ‘melekat’ tak pilih yang lain,” katanya ketika ditemui di sini.
Syed Budriz dibantu Pengurus Operasi Majlis, Iswandi Ishak dan Cef Mim.
Harga bufet Seri Melayu bagi dewasa adalah RM78 manakala kanak-kanak pula RM48 dengan lebih 60 menu ala kampung dimasak menggunakan resipi orang lama.
Hari pertama berbuka puasa di Seri Melayu, pengunjung dihiburkan dalam segmen persembahan tarian tradisional oleh penari-penari Flamingo Plaza@Flamingo Hotel dan nyanyian oleh kumpulan One Avenue ketika tetamu menikmati juadah.
Antara menu wajib dicuba seperti daging masak hitam, ayam masak merah, daging kambing kurma, ikan masak masam manis, ulam-ulaman, sambal belacan, kuih muih, cendol dan paling terkenal kambing bakar.
Kualiti kebersihan dan rasa yang boleh dimakan oleh kanak-kanak sehingga dewasa.
Menu disediakan oleh Chef Mim yang berpengalaman luas dalam bidang makanan termasuk pernah berkhidmat di Hotel Palace of Golden Horses yang bertaraf lima bintang.
Makan sehingga puas dan operasi berakhir jam 9.30 malam, ruang untuk solat Terawih bersama turut disediakan.
Kebanyakan pelanggan adalah pelanggan setia Culture Events Wedding Avenue sejak beberapa tahun lalu dan kini turut memberi sokongan terhadap Buffet Seri Melayu.
Dalam pada itu, Iswandi tidak lupa memberitahu antara faktor perubahan lokasi bufet Seri Melayu dari hotel terdahulu dan Flamingo adalah disebabkan Flamingo mesra Orang Kurang Upaya (OKU).
“Di sini masuk terus sampai ke dewan, tak perlu naik turun lif sebagainya, kemudahan amat mesra OKU,” katanya.
Orang ramai yang berminat boleh buat tempahan di nombor 0196379930.