KUALA LUMPUR – Atas sifat kesedaran, Kumpulan Rangkaian Antarabangsa D’Tandoor menolak untuk melaksanakan konsep ‘Buffet’ Ramadan tahun ini sebagai langkah mengelak pembaziran berleluasa setiap kali memasuki tempoh itu.
Usaha itu juga sebagai memupuk kesedaran tentang kesan pembaziran, selain menyokong usaha kerajaan membantu rakyat memberi subsidi bersasar daripada pembaziran dalam sudut ekonomi.
Pengasas D’Tandoor, Datuk Abdul Malik Abdullah, melihat situasi mereka yang berbuka puasa dengan pelbagai jenis lauk secara berlebihan untuk seorang, menjentik hatinya sehingga tersedar bahawa sudah banyak pembaziran berlaku sehingga lupa pada yang berlapar dan tidak mampu di luar sana.
“Kita berpuasa untuk fikir orang susah, orang miskin, untuk tidak lupa daratan yang kita sedang berpuasa untuk belajar mengawal nafsu.
“Tapi, kita makan macam maharajalela. 100 jenis makanan dicubanya. Ini sangat mendukacitakan kerana merosak nilai dan tujuan berpuasa.
“Jadi, kami tak buat bufet sebab kami rasa ia pembaziran dan bersubahat dalam pembaziran,” katanya pada sidang media pada Majlis Berbuka Puasa bersama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) di Restoran Roti By D’Tandoor di Jalan Ampang, di sini.
Turut hadir, Naib Pengerusi FMBA, Raymond Woo; Pengurus Besar D’Tandoor; Amir Malik; dan Ketua Pegawai Operasi GISB Holdings, Datuk Lokman Hakim Pfordten.
Abdul Malik berkata, bagaimanapun ia terserah kepada syarikat, individu atau mana-mana pihak lain untuk mengikut jejak D’Tandoor atau sebaliknya.
“Mungkin mereka ada pandangan lain tetapi bagi kami, kami rasa kami tak patut bersekongkol dalam pembaziran.
“Bagaimanapun, jika ada pihak contoh Makcik Kiah minta kita buat bufet untuknya dengan anggaran 100 orang, kita buat,” katanya yang sudah melaksanakan langkah itu sejak 2019 dan mengumumkannya secara rasmi tahun ini.
Sementara itu, Amir mendedahkan kajian 40 peratus makanan di negara ini dibazirkan setiap tahun, sekali gus memberi kesan sosial dan ekonomi serius apabila berlaku krisis makanan, meningkatkan peningkatan kos makanan.
“Salah satu puncanya apabila restoran atau hotel sediakan hidangan berlebihan untuk orang ramai berbuka tapi tidak dapat menghabiskannya.
“Kita perlu pupuk kesedaran, harap ada yang lain ikut. Ambil semangat daripada inisiatif ini. Bayangkan berapa subsidi kerajaan beri, untuk kumpulan bersasar tapi tak capai matlamat sebab pembaziran berleluasa,” katanya.