SHAH ALAM – Kerajaan bercadang untuk mewujudkan pusat kemahiran bertauliah berhampiran maahad tahfiz, dalam usaha memudahkan lagi urusan pelaksanaan Tahfiz Program Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (Tahfiz TVET)

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, berkata, kerajaan akan membantu pihak tahfiz dari sudut logistik atas faktor kekangan lokasi jauh daripada pusat latihan dan daripada golongan B40.

“Kita cuba pembelajaran kemahiran secara atas talian, tetapi kita akan bekerjasama dengan pusat bertauliah yang dekat dengan lokasi mereka.

“Kalau pusat jauh dari tahfiz dan dalam kalangan B40, kerajaan boleh bantu dari segi logistik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Ramadan Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dgn kerjasama Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Putrajaya, di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan PB SLDN, Datuk Joyah Abd Rashid.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, tenaga pengajar untuk melaksanakan program Tahfiz TVET juga setakat ini mencukupi.

“Kita sudah mula pelaksanaan ini beberapa tahun lalu, dan mahu kekalkan momentum supaya lebih ramai anak tahfiz mengikuti kursus kemahiran yang disediakan kerajaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan bersetuju menyumbangkan dana RM2 juta kepada Yayasan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta) untuk memperkasa institusi maahad tahfiz di negara ini.

Untuk rekod, terdapat 175,000 pelajar tahfiz membabitkan 1,199 maahad tahfiz berdaftar manakala 125,000 pelajar tahfiz lagi di maahad tahfiz yang tidak berdaftar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bersetuju supaya Pelan Tindakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 dan Garis Panduan Pengurusan Institusi Tahfiz dilancarkan, kesinambungan kepada Pelan Tindakan DPTN 2016-2020.

Program itu bertujuan melatih pelajar tahfiz (huffaz) untuk memiliki kemahiran seperti elektrikal, membaiki motor, membaiki pendingin hawa bagi mendapatkan sijil, diploma dan ijazah.