KUALA LUMPUR – Pendirian tegas hakim paling kanan, Datuk Abdul Rahman Sebli menentang keputusan majoriti semakan kehakiman kes SRC International Sdn Bhd (SRC International), di Mahkamah Persekutuan, hari ini, sesuatu yang luar biasa.

Abdul Rahman, adalah satu-satunya hakim yang memihak kepada Datuk Seri Najib Razak dalam keputusan membabitkan panel lima hakim.

Penganalisis politik, Lim Sian See menyifatkan penghakiman berbeza oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak itu yang mempengerusikan semakan berkenaan.

“Ada yang tidak kena di sini. Beliau masih membaca penghakiman tidak setujunya yang sangat tegas dan seolah-olah menunjukkan kepura-puraan hakim lain dalam panel,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sian See turut menambah, keputusan semakan kehakiman itu bukan penghujung jalan buat Najib.

“Najib masih boleh membuat semakan lanjut – terutamanya jika surat penuh dan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Ketua Hakim Negara mengambil tindakan terhadap Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali didedahkan secara rasmi,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Najib yang juga mantan Perdana Menteri, untuk menyemak semula keputusan mahkamah tertinggi negara sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Selain Abdul Rahman, panel hakim yang bersidang adalah Datuk Vernon Ong Lam Kiat; Datuk Rhodzariah Bujang; Datuk Nordin Hassan dab Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais menolak semakan berkenaan dengan keputusan 4-1.

Daripada lima panel hakim, empat hakim tersebut menolak permohonan semakan manakala Abdul Rahman menyokong semakan dilakukan.

Abdul Rahman dilaporkan berkata, keadilan bukan sahaja mengenai rasa bersalah atau tidak bersalah seseorang yang dituduh, beliau juga mesti mempunyai perbicaraan yang adil. Beliau juga mesti merasakan dia mempunyai perbicaraan yang adil. Jika sistem itu tidak mampu, beliau tidak patut dibicarakan sama sekali.