KUALA LUMPUR – Prosiding kes jenayah membabitkan jutawan automotif, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isteri, Emilia Hanafi, sejak lapan tahun lalu akhirnya bernoktah, hari ini susulan masing-masing mencapai kata sepakat.
Peguam pemerhati Emilia, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir dari Tetuan Nizam Bashir & Associates berkata keputusan hari ini dicapai berhubung persetujuan merangkumi hak terhadap Emilia dan tiga anak lelakinya.
Ia susulan, kedua-dua pihak memaklumkan kepada mahkamah bahawa masing-masing dalam proses rundingan ke arah keputusan penyelesaian tuntutan secara global, pada 24 Mac lalu.
Nizam Bashir berkata, sempena keberkatan bulan Ramadan ini juga, kedua-dua pihak bersetuju capai kata sepakat.
“Menurut Emilia, beliau terbuka hati menyelesaikan perkara ini, kerana terma penyelesaian ada menyentuh berkenaan dengan hak pasca perceraian dan kebajikan anak-anak.
“Dengan persetujuan ini, maka kedua-duanya bersetuju untuk selesaikan keseluruhan kes di mahkamah sivil.
“Ini sekali gus menoktahkan prosiding kes yang berlangsung sekian lama, selama tempoh hampir lapan tahun, sejak 2015,” katanya kepada media.
Peguam syarie mewakili Emilia, Azmi Mohd Rais berkata, penyelesaian itu juga membabitkan kes di mahkamah syariah merangkumi hak Emilia dan anak-anak juga.
“Dengan penyelesaian ini, merangkumi hak pasca perceraian isteri di mahkamah, termasuk harta sepencarian,” katanya.
Emilia menerima sejumlah wang tunai secara berperingkat, sebuah rumah dan sebuah kereta yang masih belum selesai bayaran bank.
Emilia ketika prosiding memberitahu mahkamah, dia bersetuju untuk menarik semula kes difailkan terhadap tertuduh.
Peguam tertuduh, Datuk Akberdin Abdul Kader memohon kepada mahkamah untuk anak guamnya dilepas dan dibebaskan.
Tertuduh, SM Faisal pula dilepaskan dan dibebaskan oleh mahkamah atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas di Brickfields, di sini antara jam 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang pada 22 November 2015, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama.
Majistret Nadia Othman membuat keputusan itu selepas pengadu, Emilia hadir sebagai saksi memberi keterangan bersumpah untuk menarik kes terhadap tertuduh.
Nadia turut menetapkan, wang jaminan dikembalikan semula kepada tertuduh.
Terdahulu, prosiding dikendalikan oleh Ketua Pendakwaan Unit Keganasan Rumah Tangga iaitu Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin di hadapan Majistret Nadia Othman.
Turut hadir peguam, Amer Ashrhaf Azuddin.
Pihak pembelaan mewakili tertuduh yang hadir berkemeja dan berseluar jeans, diketuai oleh Akberdin dan Datuk Jagjit Singh.
Selain itu, wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Gulabjan Fazal Eladi dan Women Aid Organization (WAO) turut hadir memberi sokongan.
Pada 27 Jun 2022 lalu, Emilia juga pernah menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.
Ia susulan pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah di sini, menjatuhi hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia selepas membenarkan permohonan komital yang difailkan SM Faisal, 43, kerana didakwa wanita itu mengubah tarikh lawatan anak-anaknya.
Sebuah portal berita, MEDIA VARIASI sebelum ini, melaporkan pendedahan tentang kisah hidup Emilia sejak Mac 2022, dan dia mula mendapat perhatian negara susulan pemenjaraannya di Penjara Kajang.