KUALA LUMPUR – Semakin ramai pasangan selebriti tanah air menggunakan Tiktok untuk mendekati peminat masing-masing selain sebagai platform perniagaan memasarkan produk diusahakan mereka.
Jika sebelum ini, pasangan pelakon, Aeril Zafril dan Wawa Zainal seringkali menghiasi ruang FYP (For Your Page) di platform berkenaan dengan telatah dan produk mereka.
Terbaharu, penyanyi duo ikonik, Syamel dan Ernie Zakri pula kerap muncul di FYP platform sama, dengan celoteh pasangan suami isteri muda itu ‘menjual’ produk sambal Terasi Kakak by Ernie Zakri dan Titeta Kurta by Syamel.
Syamel dan Ernie ketika ditemui berkata, mereka agak terkejut apabila diberitahu popular di Tiktok kerana sering muncul dengan gelagat dan celoteh mencuit hati.
Ernie juga tertanya-tanya adakah mereka benar-benar menambat hati netizen disebabkan perkara itu, kerana menganggap dia dan suami bukan seorang yang kelakar.
Bagaimanapun, bagi Syamel, Tiktok adalah medium terbaik untuk mendekatkan diri ikonik duo itu dengan peminat, selain memperkenalkan produk diusahakan mereka.
“Mulanya, kami tak merancang jadual untuk viral, tapi tiba-tiba jadi viral, tiba-tiba FYP.
“Kami memang bukan jenis kelakar, sebab kami nak tengok muka masing-masing senyum, jarang.
“Bila dah jadi macam tu (FYP) ia satu perkara terbaik buat kami, dan medium terbaik buat masa ini untuk kami rapatkan diri bersama peminatnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Rizman Ruzaini di Hotel Shangri-La, baru-baru ini.
Syamel dan Ernie Zakri mula tular di Tiktok apabila mereka berdua muncul berniaga produk, sehingga ada netizen bertanya adakah mereka pasangan belum berkahwin dan sedang hangat bercinta.
Mereka yang sememangnya pasangan suami isteri dan mempunyai seorang anak itu kemudian terus berubah berpura-pura sambil bergurau canda mencuit hati netizen.
Sementara itu, Syamel berkata, Ernie kini sedang mengembangkan sayap perniagaan EZ Beauty Empire bermula dengan tudung, manakala dia sendiri mungkin merancang untuk mengeluarkan produk penjagaan muka bagi lelaki akan datang.
“Memandangkan Ernie dah cakap saya ‘handsome’, saya boleh fikirkan untuk (keluarkan) penjagaan muka untuk lelaki selepas ini,” katanya.
Terdahulu, Syamel dan Ernie telah mendirikan rumah tangga pada 26 Mac 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Khawla Soleha.