KUALA LUMPUR – Isu kos sara hidup terus menjadi polemik bukan sahaja dalam kalangan rakyat, malah pemain industri.

Kerajaan dilihat masih lemah dalam menangani isu kos sara hidup, seolah-olah belum ada perancangan lebih segar dan baharu untuk ditawarkan kepada rakyat.

Pengarah Urusan Hybrid Allied Dairy Company Sdn Bhd (HADC) yang mengusahakan produk susu bumiputera, Amin Shukor berpendapat, sebagai pemain industri beliau melihat kerajaan perlu membentuk mekanisme alternatif dalam menangani kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, realitinya isu harga barang bukan perkara baharu, dan ia perlu diakui kerajaan bahawa mekanisme yang sedia ada kurang berkesan.

“Saya sebagai pemain industri turut terbeban dengan isu kenaikan harga barang, apatah lagi pengguna iaitu rakyat.

“Contoh paling hampir iaitu ketika Bazar Ramadan sekarang harga makanan sangat mahal dan jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa IKMa bersama Media di Hotel Sunway Putra, di sini.

Turut hadir, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Ali Mansor; Timbalannya, Mohd Zaid Mat Yunus dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan)nya, Hamidah Mohd Jos.

Amin yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Damansara berkata kerajaan sebelum ini dilihat sebelum ini amat menitikberatkan kebajikan rakyat.

“Kerajaan hari ini perlu lebih efisyen mewujudkan mekanisme lebih berkesan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.