KUALA LUMPUR – Ribuan pelabur berputih mata apabila ditipu oleh ‘scammer’ dan dianggarkan kerugian hampir RM1 bilion.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kerugian membabitkan hampir 4,000 pelabur yang menjadi mangsa dan setakat ini lebih 500 laporan polis sudah dibuat di seluruh negara.

Katanya, penipuan pelaburan itu bermodelkan tabung amanah, Islamic Redeemable Share (IRPS), info memorandum dan sukuk yang ditawarkan dengan menggunakan lima syarikat tempatan.

“Mereka yang melabur kebanyakannya menggunakan wang persaraan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ada juga individu yang berstatus Tan Sri, berjawatan peguam serta profesional turut menjadi mangsa pelaburan ini,” katanya dalam sidang media membabitkan mangsa pelaburan ini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan dokumen aduan terkumpul yang membabitkan sebahagian daripada mangsa di pejabat Suruhanjaya Sekuriti (SC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan.

Hishamuddin berkata, pihaknya meminta agensi siasatan SC menyiasat syarikat yang terbabit kerana disyaki sudah melakukan penipuan menggelapkan wang pelabur.

Seorang mangsa, Anisa Talib, berkata dia melabur dalam syarikat kerana percaya apabila ditunjukkan sijil dan laporan mengatakan syarikat itu sah termasuk mempunyai perakuan SC.

“Saya menggunakan semua wang simpanan peribadi demi memikirkan masa depan anak dan saya kerana itu membuat pelaburan ini.

“Apabila menyedari saya ditipu, saya mengalami pelbagai masalah hingga menyebabkan pergolakan rumah tangga dan saya hampir bercerai.

“Keadaan kesihatan saya turut merosot dan saya mengalami tekanan perasaan. Saya harap pihak terbabit dapat membantu menyelesaikan masalah kami,” katanya.

Pesara, Harun Mohd Yunus, pula berkata dia mengeluarkan wang KWSP sebanyak RM250,000 dan semuanya habis dilaburkan pada skim ini.

“Saya melabur pada penghujung 2021 dan pulangan diterima hanya selama empat bulan kira-kira RM6,000 sebulan yang dimasukkan ke dalam akaun saya.

“Selepas itu sehingga kini tiada lagi wang pulangan yang dimasukkan dalam akaun saya,” katanya.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihaknya berharap SC akan segera mengambil tindakan menyiasat perkara berkenaan kerana ini adalah jenayah scam yang paling tinggi pernah berlaku di Malaysia.

“Ini bukan jenayah scam biasa tetapi corporate scam kerana terdapat sejumlah pelaburan tertinggi yang dibuat sehingga RM3 juta.

“Oleh itu, MHO meminta SC melakukan siasatan terperinci terhadap kes ini, selepas aduan dan laporan yang telah dibuat kepada pihak polis sebelum ini.

“Jika tiada sebarang tindakan, kami juga akan meneruskan aduan kepada beberapa agensi terbabit.

“Sekiranya tidak ada tindakan sewajarnya, MHO tidak teragak-agak untuk membawa kes ini kepada badan lebih tinggi seperti ke Pejabat Perdana Menteri,” katanya.

By Cynthia

Leave a Reply