Kumpulan Jakel optimis menyasarkan angka jualan kepada RM1.3 bilion tahun ini berbanding RM1 bilion, tahun lalu menerusi pelbagai segmen termasuk promosi Jualan Rahmah Baju Raya Jakel.

Jualan Rahmah Baju Raya Jakel antara promosi terbaharu syarikat yang sejajar dengan pelaksanaan kerajaan Membangun Melayu Madani di bawah agenda Payung Rahmah.

Pengarah Urusan Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, menerusi promosi itu lebih tiga juta pasang pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak tersedia sempena Aidilfitri tahun ini dengan 40 peratus daripadanya telah terjual setakat semalam.

“Kita yakin mampu menjual sekurang-kurangnya 90 peratus daripada jumlah pakaian berkenaan.

“Pada 2017, 2018 dan 2019, kita mencatat jualan kain sebanyak RM1.4 bilion setiap tahun. Bila COVID-19 melanda, (jualan) jatuh separuh kepada sekitar RM700 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran gedung tekstil baharu Jakel, di sini.

Mengulas mengenai gedung baharu itu, Mohamed Faroz berkata gedung berkeluasan 80,000 kaki persegi milik Jakel Realty Sdn Bhd itu mampu menampung seramai 10,000 pengunjung pada satu masa.

Katanya, gedung yang beroperasi secara sementara itu telah pun mendapat kelulusan beroperasi daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Tenaga Nasional Berhad (TNB), bomba dan pihak berkaitan.

“Gedung ini dibina dengan struktur kukuh iaitu besi, dinding batu yang boleh beroperasi selama dua tahun.

Bagaimanapun, premis lama berhampiran, yang terbakar awal Januari itu, katanya masih di peringkat ujian kekuatan bangunan untuk melihat sama ada bangunan boleh dibaikpulih atau dirobohkan.

“Kita akan mendapatkan maklumat pada Mei nanti, jika kita perlu roboh, kita akan robohkan dan bina semula tetapi kalau perlu dibaiki kita akan baiki. Bomba memaklumkan kepada kita kebakaran bangunan itu berpunca dari litar pintas.

“Sama ada dilakukan kerja baikpulih besar-besaran atau dibina semula, bangunan lama (yang terbakar) itu dijangka siap dan sedia untuk beroperasi semula pada 2025.

Mohamed Faroz berkata, pihaknya juga merancang pembinaan Jakel Mall di kawasan premis sementara tersebut dalam tempoh dua tahun akan datang.