KUALA KUMPUR – Kerinduan peminat untuk mendengar suara Adi Priyo terubat apabila vokalis kumpulan 6ixth Sense itu muncul dengan single terbaharu berjudul Tulus.
Dicipta sepenuhnya oleh komposer Aiman Sidek, lagu ini menampilkan kolaborasi Adi bersama penyanyi Nabila Razali.
Lagu ini turut dipilih menjadi runut bunyi bagi drama yang sedang ditayangkan di slot Samarinda di TV3, Bukan Puteri Lindungan Bulan (lakonan Janna Nick dan Hisyam Hamid).
Drama berkenaan adaptasi dari sebuah novel terlaris pada tahun 2002 nukilan novelis Liana Afiera Malik.
Adi berkata, projek istimewa ini adalah hadiah untuk peminat yang lama menantikan buah tangan terbaharunya.
Dia juga bersyukur kerjasama pertama dengan Nabila Razali berjalan lancar seperti yang dirancang.
“Ini hadiah saya untuk mereka. Saya harap peminat dapat menerima lagu ini sama seperti karya-karya sebelum ini,” katanya.
Tulus berkisahkan tentang sebuah perjalanan dalam perhubungan cinta yang mulai renggang antara satu sama lain. Ego membuatkan masing masing hanya memendam rasa rindu dan cinta antara mereka.
Sedangkan masih tulus merindui dan mencintai satu sama lain hingga akhirnya.
Tulus adalah kolaborasi antara tiga syarikat iaitu Nabila Razali Entertainment, Global Keynote dan Alternate Records Sdn Bhd serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia.
Lagu Tulus sudah boleh distrim disemua platform digital sejak 29 Mac lalu.
Manakala muzik video rasmi Tulus akan menyusul menerusi saluran YouTube Nabila Razali Entertainment.