PUTRAJAYA, 6 April 2023 – Jabatan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya menganjurkan Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya bagi tahun 2023/1444H bagi mengimarahkan bulan Ramadan yang berkat ini.
Seramai 700 orang penerima sumbangan di Wilayah Persekutuan Putrajaya yang terdiri daripada para asnaf, anak yatim, warga emas, ibu tunggal, OKU dan mereka yang tidak berkemampuan menerima sumbangan wang tunai RM200.00 setiap seorang daripada peruntukan Baitulmal, Majlis Agama Wilayah Persekutuan. Keseluruhan peruntukan sumbangan Nur Ramadan di WP Putrajaya adalah sebanyak RM140,000.00.
Melalui penganjuran program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan ini, pihak kerajaan dapat menyantuni golongan miskin yang seterusnya dapat meringankan beban golongan ini. Selain itu, program ini juga turut menambahkan lagi nilai kasih sayang dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan..
Pemilihan penerima sumbangan di Wilayah Persekutuan Putrajaya ini dipilih melalui senarai asnaf yang berdaftar dengan MAIWP, sistem eKasih dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kategori asnaf yang dipilih juga ialah Fakir, Miskin, Al- Gharimin, Al-Riqab, Fisabillah, dan Muallaf. Perbadanan Putrajaya juga sentiasa komited dalam membantu para asnaf di Putrajaya dengan menyalurkan pelbagai bantuan lain dari semasa ke semasa, antaranya adalah Bantuan Kasih Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2023, Bantuan Agro Rahmah Ramadan dan Bantuan Kasih Aidilfitri.
Semoga penyampaian sumbangan Nur Ramadan Wilayah Persekutuan ini sedikit sebanyak dapat menyinari kehidupan penerima disamping mengeratkan ukhuwah, perasaan kasih sayang dan persaudaraan dalam menyatupadukan rakyat untuk hidup dalam kemajmukan MADANI yang mengangkat nilai kesederhanaan dan kemanusiaan dengan menyemarak amal jariah kepada golongan yang kurang berkemampuan.