KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) mahu membantu memulihkan imej usahawan terjejas akibat tohmahan sehingga mereka ditolak pengguna.
Yang Di Pertua Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur MTPN, Abdul Malik Jamaran berkata, tohmahan adalah satu perkara yang boleh membunuh imej dan reputasi seseorang atau syarikat sekelip mata.
“Ramai sukar bangkit dan tidak tahu jalan keluar setelah berhadapan cercaan, hinaan netizen menerusi media sosial malah ada yang muflis, gulung tikar gara-gara tohmahan.
“Dalam dunia tanpa sempadan, segala-galanya sukar, sekali orang viral boleh ‘membunuh’ sekelip mata.
“Tohmahan dan viral adalah isu negara yang besar, jika ia tidak dikawal selia dengan baik, ia akan membantutkan ekonomi negara, kerana produk yang baik tidak sampai kepada pengguna.
“MTPN sebagai platform, kita bantu pulihkan, bersihkan tohmahan itu dan bangunkan semula usahawan terjejas, ” katanya kepada media.
MTPN diwujudkan pada 2016, berpangkalan di Johor Bharu, memiliki 87 cawangan berperanan membantu menyemak, mempromosi produk dan servis yang baik sebelum pensijilan diberi dan sampai kepada pengguna.
Sementara itu, Abdul Malik berkata, sebanyak 8,000 usahawan sudah dibantu dan diberi sijil, manakala proses pensijilan ini membantu meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap syarikat dibawahnya.
“Dengan adanya sijil berkenaan, secara tidak langsung beri impak kepada pengguna untuk buat pilihan, jika mereka berada di bawah MTPN, produk atau servis syarikat telah menjalani proses audit dan semakan telus dari MTPN sekaligus beri jaminan kepercayaan kepada pengguna, ” katanya.