PORT KLANG, 6 APRIL 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil maklum pembentangan belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung dengan isu ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel dengan anggaran hampir 10 billion ringgit nilai subsidi telah diselewengkan pada tahun 2022.

Susulan dengan mandat daripada YAB Perdana Menteri tersebut, pihak Kementerian telah mengambil tindakan segera dengan mewujudkan Task Force bersama agensi yang berkaitan bagi mengenal pasti punca ketirisan dan mencari jalan penyelesaian yang konkrit secara kerjasama strategik bagi mengurus isu ketirisan subsidi diesel.

Pihak Kementerian telah melancarkan Ops Tiris yang berkuatkuasa selama enam (6) bulan bermula 1 Mac – 31 Ogos 2023 yang turut melibatkan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain bagi menggerakkan arahan pemeriksaan dan operasi secara bersama ke atas barang kawalan berjadual bersubsidi jenis minyak diesel. Tindakan pemeriksaan dan operasi dirancang di semua peringkat agensi penguatkuasa termasuklah melibatkan serahan kes daripada rakan strategik seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pada hari ini, KPDN telah menjalankan Ops Tiris bersama Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Port Klang dengan menggunakan pendekatan tinjauan dan rondaan di sekitar perairan yang berpotensi berlaku situasi ketirisan luar negara melibatkan aktiviti oleh bot nelayan, bunkering dan barter trade di sempadan perairan Negara. Ops Tiris ini telah diketuai oleh YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KPDN diiringi bersama YBhg Datuk Azman bin Adam, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, YDH CP Dato’ Hussein bin Omar Khan, Ketua Polis Selangor dan Tuan Mohd Zuhairi bin Mat Radey, Pengarah KPDN Negeri Selangor.

Pencapaian tindakan di bawah Ops Tiris bermula 1 Mac sehingga 4 April 2023 sejumlah 3,654 premis telah diperiksa dengan sejumlah 95 kes dihasilkan. Hasil tindakan berjaya menyelamatkan sejumlah 1.4 juta liter subsidi diesel yang bernilai RM 3,025,336.

Pihak KPDN akan terus mengadakan sesi libat urus bersama agensi penguatkuasa relevan bagi memberikan penerangan atau panduan berkaitan gerak kerja serta perancangan taktikal Ops Tiris Bersepadu di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dalam membantu kerajaan mengekang ketirisan barang kawalan melibatkan diesel di Malaysia amnya dan khususnya di negeri Sarawak.

KPDN ingin memberikan penekanan bahawa komitmen Kementerian adalah serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyeludupan/ penyelewengan barangan bersubsidi diesel di dalam Negara, sama ada di darat dan laut.

Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mana-mana pihak terlibat di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Leave a Reply