KUALA LUMPUR – Susulan kes saman perlanggaran kontrak drama berpihak kepada penerbit, Datuk A Aida, pelakon Amelia Henderson memfailkan rayuan terhadap keputusan kes berkenaan.
Peguam mewakili Amelia, Wan Norliana Abdul Rahman berkata anak guamannya akan membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi.
“Rayuan kepada Mahkamah Tinggi untuk keputusan keseluruhan hari ini. Secepat mungkin, kami sedang tunggu penghakiman perintah dari plaintif dulu.
“Rayuan bukan bersifat kita boleh terus tangguh.” katanya kepada media.
Sementara itu, Amelia berkata, pihaknya tidak boleh mengulas panjang kerana dijangka memfailkan rayuan berhubung kes itu.
“Saya rasa kes ini masih berterusan dan kita nantikanlah. Saya menghormati keputusan mahkamah hari ini.
“Saya masuk mahkamah hari ini tanpa sebarang harapan.
“Saya sangat bangga dengan diri saya kerana saya rasa saya buat perkara yang betul.
“Tapi pada masa sama perasaan itu juga yang bagi saya kekuatan untuk membuat rayuan,” katanya.
Amelia turut meluahkan rasa gembira kerana seluruh keluarga hadir beri sokongan pada saat dia memerlukan.
“Pengalaman saya bekerja dengan Datuk A Aida sangat best. Saya tak ada satu patah perkataan negatif pun untuk cakap pasal dia.
“Saya harap semua orang faham ini adalah percanggahan pendapat profesional.
“Saya hormati semua orang dalam industri ini baik A Aida atau siapa pun yang saya pernah kerja sama. Saya dapat pengalaman yang menyeronokkan kerja dengannya, ” katanya.
Pemilik nama sebenar, Amelia Thripura Henderson itu didapati jelas telah melanggar terma-terma kontrak dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
Amelia diperintahkan Mahkamah Sivil hari ini untuk membayar ganti rugi hampir RM200,000 kepada syarikat produksi milik A Aida selepas didapati melanggar kontrak lakonan.
Terdahulu, A Aida mengambil tindakan undang-undang terhadap Amelia dan seorang lagi pelakon, Idris, selepas didakwa menarik diri pada saat akhir daripada membintangi drama terbitan syarikatnya, A Aida Production.
Penerbit itu menjelaskan tindakan berkenaan diambil kerana kecewa dengan sikap tidak profesional pelakon terbabit sehingga menyebabkannya terpaksa menanggung kerugian besar.