SHAH ALAM – Pendedahan demi pendedahan dalam episod pergolakan rumah tangga selebriti, artis dan pemimpin terkait, di Mahkamah Syariah, sejak awal tahun ini membuka mata banyak pihak mengenai tuntutan dan hak yang tidak pernah diketahui umum selama ini.

Wanita kini juga sudah tahu jika di mahkamah syariah sebenarnya, mereka boleh membuat pelbagai tuntutan dan hak mereka, termasuk anak-anak.

Perkara itu diakui oleh pelakon, pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad selepas melihat sendiri rakan seperjuangannya termasuk pasangan yang pernah dikenali, dalam dunia seni berdepan konflik rumah tangga mendapat liputan media secara meluas.

“Sekarang ini, dah banyak kes (perceraian di mahkamah syariah).

“Orang dah mula buka (pelbagai tuntutan dan hak), eh, boleh rupanya tuntut ini, tuntut itu la,” katanya kepada media mengulas beberapa rakan artis berdepan isu rumah tangga.

Nabil bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu, sebaliknya bersyukur kerana beroleh isteri, Nazirah Ayub yang cukup sabar melayan kerenah dan perangainya selama menempuh alam perkahwinan.

“Satu yang saya belajar daripada perkahwinan ini, isteri saya sebenarnya seorang yang sabar dengan saya.

*Kadang bila tengok kawan diuji, saya cakap, bagilah kesabaran kepada isteri aku.

“Saya juga tak boleh nafikan dalam rumah tangga memang ada isu, pasang surutnya, sedangkan lidah lagi tergigit apatah lagi hubungan suami isteri,” katanya.

Bagaimanapun, Nabil berkata, semakin banyak pendedahan kedua-dua pasangan mungkin boleh memberi kesan trauma kepada anak-anak pula.

Terdahulu, Nabil hadir sebagai duta tradisi Jakel pada Majlis Pelancaran lokasi baharu gedung tekstil Jakel di Shah Alam, dekat sini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel bersama pelakon, Datuk Aaron Aziz yang juga duta Jakel.

Nabil dan Nazirah mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan tiga anak iaitu Naira Miykayla, Layla Medyna dan Mishall Imani.

Mengulas mengenai persiapan raya yang bakal menjelang, Nabil berkata sambutan Aidilfitri tahun ini diraikan bersama keluarga secara sederhana dengan pakaian dari Jakel.

“Saya tiap-tiap tahun raya dengan Jakel, isteri dan anak-anak.

“Tahun ini persiapan Rahmah, beraya di Rembau dan Klang,” katanya.