KUALA LUMPUR – Ribut badai yang melanda rumah tangga pelakon, Puteri Sarah Liyana dan pengarah, Syamsul Yusof selama tempoh empat tahun, dikatakan semakin reda selepas kedua-duanya mencapai kata sepakat untuk membawa haluan masing-masing.
Puteri Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, berkata, persetujuan itu dicapai dalam keadaan tenang ketika mereka berjumpa dan berbuka puasa bersama pada Ahad.
Katanya, keluarga kedua-dua belah pihak juga menerima baik keputusan mereka dan percaya urusan dipermudahkan.
“Alhamdulillah keberkatan Ramadan. Semuanya dipermudahkan. Kami dah berbincang dan mencapai kata sepakat malah Syamsul setuju dengan semua terma yang saya mahukan.
“Saya rasa lebih tenang dan boleh fikir meneruskan kehidupan. Selama ini pun saya hanya mahu kes kami selesai,” katanya kepada pemberita.
Pertemuan di antara mereka juga menoktahkan teka teki berhubung perkahwinan mereka berikutan Syamsul sebelum ini enggan melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah sehingga memfailkan tuntutan nusyuz.
Justeru, Puteri Sarah sendiri tidak menyangka hatinya terbuka untuk bertemu dengan suaminya itu namun menyifatkan keberkatan bulan mulia telah membuka hatinya.
“Saya pun tak tahu apa yang membuka hati untuk berjumpa Syamsul semalam. Bagi saya mungkin dengan berjumpa kami boleh selesaikan semua masalah termasuk hal berkaitan penjagaan anak dah nafkah,” katanya.
Mengulas lanjut pertemuan hari ini, Puteri Sarah yang juga pelakon Andai Itu Takdirnya menjelaskan, Syamsul akan menarik balik kes nusyuz yang difailkan terhadapnya pada 21 Mac lalu.
“Syamsul akan tarik semula ke nusyuz. Hal berkaitan hak penjagaan anak pula akan direkodkan dalam sebutan pada 18 April nanti.
“Kami (akan) berpisah dengan tenang dan tiada permusuhan. Kami kekal sebagai kawan demi anak-anak. Jumpa Syamsul semalam pun kami tidak bergaduh,” katanya.
Sementara itu, Puteri Sarah menegaskan meskipun sudah bercerai nanti, dia tidak akan bermusuhan dengan Syamsul dan mahu mengekalkan hubungan baik demi dua anak mereka.
Terdahulu, Puteri Sarah Liyana yang berpakaian serba putih manakala Syamsul berkot hitam dan berkaca mata hitam, hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, pada pagi Isnin bagi mendengar keputusan proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 24 Mac lalu.
Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah bernikah pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5 tahun.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul membuat pengakuan sudah bernikah dengan Ira Kazar di Thailand yang berwakil walikan bapanya, aktor Kazar Saisi.
Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin, menetapkan prosiding kes lafaz cerai pengarah, Syamsul Yusof terhadap isterinya, Puteri Sarah pada 18 April ini.
Ketika prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas berhubung status Jawatankuasa Pendamai (JKP), peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah, 38, berkata, Syamsul dan Puteri Sarah, telah mencapai persetujuan untuk membubarkan perkahwinan dengan cara baik serta aman.
Bagaimanapun, terma-terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut, antaranya hadanah, nusyuz, mutaah, nafkah, eddah dan harta sepencarian.