KLANG, 10 APRIL 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor pada hari ini dengan kekuatan anggota seramai 9 orang telah menggerakkan satu operasi / serbuan ke atas dua premis iaitu sebuah stor simpanan dan sebuah premis jualan yang beroperasi di dalam pasaraya di sekitar Klang, Selangor.
Kedua-dua premis tersebut disyaki menyimpan dan menjual barangan jenis beg tangan berjenama eksklusif dan terkenal. Hasil tindakan serbuan mendapati sejumlah 12 jenama ditemui dipakaikan dengan salah pada beg tangan yang disimpan di stor simpanan dan dijual di premis yang diserbu.
Tindakan operasi pada hari ini, merupakan hasil risikan yang dijalankan selama dua (2) minggu oleh Pasukan Risikan KPDN Selangor dengan kerjasama daripada wakil cap dagangan berdaftar berhubung aktiviti mencurigakan melibatkan cap dagangan yang diwakili.
Anggaran jumlah barangan yang ditemui dalam serbuan ini yag melibatkan dua (2) premis dianggarkan mencecah 10,000 unit beg tangan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan mencecah RM1 juta. Berdasarkan rekod tindakan kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, tindakan kes pada hari ini melibatkan nilai rampasan terbesar pada tahun 2023.
Sitaan telah dilakukan ke atas kesemua barang rampasan dan seterusnya disimpan dan dikawal di bawah pengurusan ekshibit KPDN Selangor sepanjang siasatan berjalan.
Pasukan serbuan turut menahan empat (4) orang warganegara Malaysia berumur dalam lingkungan 18 tahun – 38 tahun yang ditemui semasa serbuan. Tahanan dibuat bagi membantu siasatan. Premis yang diserbu pada hari ini disyaki serta dipercayai telah beroperasi sejak tiga (3) tahun yang lalu.
Tindakan kes berpotensi disiasat di bawah kesalahan Seksyen 102(1)(c), Akta Cap Dagangan 2019 iaitu melibatkan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100, Akta Cap Dagangan 2019.
Hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c), jika didapati bersalah bagi individu denda tidak melebihi RM10 ribu bagi setiap satu barang atau penjara tidak lebih tiga (3) tahun , atau kedua-duanya sekali, manakala bagi pertubuhan atau syarikat , denda tidak melebihi RM15 ribu bagi setiap satu barang.
KPDN Selangor ingin menegaskan juga, berhubung pematuhan kepada pemilik bangunan agar bertanggungjawab dan berusaha memastikan premis/ lot yang disewakan kepada penyewa (peniaga) tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang melanggar peruntukan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 atau mana-mana perundangan yang dikuatkuaskan di bawah KPDN. Pematuhan kendiri ini merupakan landlord liability yang amat penting dipatuhi sebaiknya oleh pemilik bangunan.
KPDN SELANGOR ingin menegaskan tindakan penguatkuasaan melibatkan perlindungan harta intelek akan terus digiatkan ini adalah kerana perlindungan hak harta intelek merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga.
Pengguna juga disarankan untuk bersama sama menghormati hak harta intelek dengan tidak sesekali menyokong peniaga yang mengaut keuntungan dengan menggunakan cap dagangan secara salah/ tidak sah daripada pemilik cap dagang. Aktiviti seperti ini sebenarnya memberikan kerugian kepada ekosistem ekonomi perdagangan harta intelek dalam Negara.
KPDN Selangor juga meminta pengguna untuk menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan perlakuan perdagangan domestik dan hal ehwal pengguna di saluran rasmi berikut :
(i)Whatsapp 019-2794317/ 019-8488000
(ii)Portal e-aduan.kpdn
(iii)Call Centre 1-800-886-800
(iv)Emel e-aduan@kpdn.gov.my
(v)Ez ADU KPDNHEP
(vi)Bilik Gerakan KPDN Selangor (setiap hari 8.00 pagi – 6.00 petang) 03 5514 4393