KUALA LUMPUR – Hasil risikan selama dua (2) minggu, sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama-sama wakil pemilik cap dagangan pada 5 April 2023 lalu telah membuat serbuan ke atas empat (4) buah premis pemborong di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur.

Hasil pemeriksaan di keempat-empat buah premis ini, pasukan serbuan telah menyita 8,511 unit barang-barang yang disyaki tiruan terdiri daripada baju dan seluar berjenama. Jumlah sitaan bagi keempat-empat premis ini dianggarkan bernilai RM250,000.00 (Dua Ratus Lima Puluh Ribu Ringgit) kerana disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Kesemua premis pemborong ini juga didapati turut menjual pakaian tiruan berjenama secara dalam talian kepada pelanggan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Kesemua pemborong ini disyaki menjadi pembekal utama kepada pemborong serta peruncit di sekitar Kuala Lumpur serta turut menghantar bekalan kepada peniaga di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Hasil serbuan mendapati, keempat-empat premis ini dimiliki oleh individu tempatan tetapi peniaga sebenar adalah warga asing yang hanya menggunakan nama warga tempatan bagi mendapatkan lesen dan diberikan bayaran gaji pada setiap bulan kepada penama yang terlibat. Kesemua premis ini dipercayai telah menjalankan perniagaan lebih daripada dua (2) tahun dan sering kali menukar Modus Operandi perniagaan bagi mengaburi mata Pihak Berkuasa. Dalam operasi ini, kita turut menahan tiga (3) pekerja warga asing bagi membantu siasatan kes.
Hasil maklumat yang diperolehi, bekalan pakaian ini diperolehi dari Negara Luar dan kesemua stok ini adalah bagi tujuan penjualan kepada orang ramai yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada bulan ini. Seluar dan baju berjenama ini diperolehi pada harga kos RM10.00 hingga RM50.00 seunit serta akan dijual pada harga borong iaitu RM20.00 hingga RM80.00 seunit. Manakala peniaga runcit akan menjual pada harga RM40.00 sehingga RM150.00 seunit bergantung kepada kualiti barangan.
Bagi kes-kes yang telah dihasilkan ini, pihak kami akan turut menyiasat kesemua pihak yang terlibat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Merujuk kepada statistik penghasilan kes harta intelek bagi KPDN WP Kuala Lumpur, bagi tahun 2023 (sehingga April), sebanyak 47 kes telah terhasil di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 dengan nilai rampasan sebanyak RM1.8 Juta melibatkan sitaan barangan sebanyak 43,466 unit. Manakala jumlah tangkapan di bawah Ops Jeriji 4.0 bagi tahun 2023 adalah sebanyak tujuh belas (17) orang melibatkan kesalahan berkaitan dengan harta intelek.

KPDN WP Kuala Lumpur akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang Harta Intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 secara berterusan dalam membanteras penjualan barangan tiruan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagangan berdaftar di Malaysia.
Pihak kementerian mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada wakil Pemilik Cap Dagangan yang berdaftar bagi meningkatkan lagi kerjasama berterusan untuk membanteras aktiviti pengedaran serta penjualan barangan tiruan di pasaran. Usaha membanteras penyalahgunaan cap dagangan ini juga melibatkan komitmen Negara kita di peringkat Antarabangsa serta menyokong usahasama kita setelah menyertai Protokol Madrid yang berkuatkuasa pada 27 Disember 2019.
KPDN menyeru orang ramai supaya tidak terlibat dalam urusniaga yang melibatkan barang tiruan serta tidak bersubahat dengan membeli barangan tiruan berjenama daripada peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab terutamanya bagi persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba. Tanggungjawab melindungi hak harta intelek adalah tanggungjawab bersama.

KPDN WP Kuala Lumpur memberi amaran keras kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada. Peniaga yang ingkar bakal menerima hukuman yang berat sepertimana yang ditetapkan oleh undang-undang.
Penalti bagi kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 adalah seperti berikut. Jika disabit dengan kesalahan :
(A) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi lima belas ribu ringgit bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu, dan BAGI KESALAHAN YANG KEDUA atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu; atau

(B) jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan BAGI KESALAHAN YANG KEDUA atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sebarang aduan boleh dikemukakan kepada pihak Kementerian melalui:-
i. Portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdn.gov.my)
ii. Call Centre : 1 800 886 800
iii. E-mail : e-aduan@kpdn.gov.my
iv. Ez ADU KPDN (aplikasi telefon pintar)
v. Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre
03-88826088 / 6245 )
vi. Whatsapp 019-279 4317

Leave a Reply