KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Raya pastinya tidak meriah tanpa lagu raya, semua artis tidak melepaskan peluang melancarkan lagu raya masing-masing.

Terbaharu, penyanyi, Elizabeth Tan turut menghadiahkan peminatnya dengan lagu raya berjudul Raya Cun hasil ciptaan sepenuhnya oleh Diandra Arjunaidi, Mage dan Efry Arwis.


Menariknya, lagu Raya Cun ini adalah lagu raya pertama Elizabeth Tan atau mesra disapa, Lizzy sepanjang lebih lapan tahun menjadi penyanyi.


Lizzy berkata, lagu Raya Cun hasil kerjasama Universal Music Malaysia dengan Lion Music Group dan sangat mesra pendengar selain ia cukup dekat dengan kehidupan semua yang menyambut Hari Raya Aidilfitri.


“Lagu Raya Cun ini ringkas saja. Ia mengenai kecoh suasana kemeriahan di pagi raya. ‘Vibe’ lagu ini memang gembira dan kita ada memasukkan elemen penting hari raya yang mana saya berasa semua orang sudah tahu seperti baju raya, duit raya dan banyak lagi,” katanya.

Lizzy berkata, tiada sebab untuk dia menolak merakamkan lagu ini kerana menyifatkan ia lagu raya yang cukup menarik dan sesuai dengan karakter vokal dimiliki.


Meski berdepan cabaran dari segi masa, Lizzy berkata dia berusaha untuk memberikan yang terbaik sepanjang proses rakaman.


“Cabaran untuk lagu ini adalah masa. Sebenarnya agak ‘rushing’ sebab saya baharu saja menandatangani kontrak dengan Universal Music Malaysia dan Lion Music Group bulan lalu. Jadi, saya ada lebih kurang sebulan saja untuk rakamkan lagu ini dan buat video muzik sekali.


“Ketika proses rakaman pula, ia sangat ‘straightforward’. Kali kedua saya mendengar demo lagu ini, saya terus jatuh cinta dan cakap pada diri kena terima dan nyanyi.

“Selepas itu, kami terus tetapkan tarikh untuk masuk studio dan pada hari rakaman, semuanya berjalan lancar,” katanya.


Berkongsi mengenai video muzik (MV) lagu Raya Cun itu, Lizzy akui ia sesuatu yang menyeronokkan ditambah pula dengan konsep MV yang ‘happening’.


“Konsep MV lagu Raya Cun ini mengenai suasana pada pagi raya. Semua orang teruja dan suasana pun sangat meriah. Pendek kata, semua orang bergembira meraikan hari raya bersama keluarga dan orang tercinta,” katanya.


Dalam masa sama, Lizzy memuji keseluruhan pasukan yang menghasilkan lagu dan pembikinan MV Raya Cun.


“Ini pertama kali saya bekerjasama dengan pasukan produksi ini. Saya agak kagum kerana semuanya berjaya menyiapkan tugasan ini mengikut masa ditetapkan.

“Saya senang nak bekerja dengan mereka dan yang paling penting mereka juga terbuka untuk terima idea serta cadangan daripada saya,” katanya.


Apa yang pasti, Lizzy berharap lagu Raya Cun itu diterima baik memandangkan ia adalah lagu raya pertama dihasilkan.


“Lagu ni sangat istimewa buat saya sebab sebenarnya lapan tahun lalu saya ‘tular’ selepas menyanyikan dan merakamkan semula lagu raya. Disebabkan itu, komposer dan penyanyi Faizal Tahir terus menawarkan saya untuk merakamkan lagu Knock Knock.


“Kiranya, perjalanan kerjaya nyanyian saya bermula dengan saya ‘cover’ lagu raya. Sekarang saya ada lagu raya sendiri.

“Harapan saya untuk lagu ini adalah semua orang akan rasa gembira apabila mendengarnya. Kalau suka, jangan lupa kongsikan dengan kawan-kawan dan keluarga,” katanya.


Raya Cun sudah dilancarkan secara rasmi sejak 7 April lalu di kesemua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video muzik sudah boleh
ditonton di saluran Youtube Universal Music Malaysia.

By Cynthia

Leave a Reply