PUTRAJAYA, 12 April – Sebanyak 2,800 bingkisan raya telah diperuntukkan oleh Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kecil Maritim Malaysia untuk diagihkan kepada pegawai dan kakitangan agensi ini yang akan bertugas pada Syawal nanti.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) yang kini memangku sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, sumbangan ini disediakan sebagai menzahirkan sokongan moral kepada warga Maritim Malaysia yang akan bertugas sempena Aidilfitri nanti.

“Mengenangkan keadaan inilah, Ibu Pejabat melalui PUSPANITA Cawangan Kecil Maritim Malaysia mengambil inisiatif menghulurkan bingkisan raya kepada warga Maritim Malaysia yang akan bertugas menjaga perairan negara menjelang Syawal nanti.”

Beliau berkata demikian pada ucapan sempena Majlis Penyerahan Bingkisan Raya di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd Amin, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Khairul Anwar Bachok serta Datin Norazlita Hamali, Pemangku Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Maritim Malaysia.

Bingkisan raya yang telah disediakan akan diserahkan kepada 11 buah Maritim Negeri merangkumi 15 Zon Maritim dan semua Pusat Operasi Maritim dan Maritime Rescue Co-ordinating Centre (MRCC) di seluruh negara.

Leave a Reply