SETIA ALAM – Berpegang kepada prinsip, tidak lupa kepada kebajikan orang sekeliling ketika berada puncak perniagaan menjadikan rezeki sentiasa melimpah ruah.
Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Datuk Mohd Aizuddin Ghazali, berhibur sambil beramal adalah konsep yang sentiasa dibawa dalam tiga teras agenda kebajikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.
Katanya, sebagai sebuah NGO kebajikan bekerjasama dengan pelbagai artis dalam dan luar negara, hasil yang dikumpul melalui pembelian tiket konsert pasti akan disalurkan kepada yang memerlukan.
“Bila kita berbisnes, berniaga, bekerja, kita tak lupa dengan orang kebajikan kita, rezeki kita makin melimpah ruah, ini cara saya.
“Saya suka berhibur sambil beramal. Konsert hiburan yang kita bawa ini, keberhasilan saya salurkan kepada kebajikan sebagaimana seperti konsert Rossa dari Indonesia, kita berjaya bantu 2,000 pelajar miskin asnaf untuk terima bantuan laptop dan pendidikan.
“Ini cara kita, kita bukan saja bawa tonton untuk berhibur tetapi tiket dibeli untuk tujuan amal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran lagu dan video klip Jom Balik Raya oleh Shiha Zikir di Majlis Iftar PRIHATIN bersama media dan rakan strategik di Courtyard, Setia Alam, di sini.
Selain Shiha, turut hadir meraikan majlis, Tengku Datuk Kamarul Zaman Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar; penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami Datuk Khalid Mohd Jiwa; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PRIHATIN, Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar; Pengerusi Koperasi Prihatin Nasional Selangor Berhad (KOPENA), Datuk Abdul Malik Abdullah dan rakan strategik lain.
Mohd Aizuddin berkata, PRIHATIN juga dijangka mengadakan kerjasama dengan Yayasan Nurjiwa tahun ini untuk mengadakan program bersama termasuk makan malam amal.
“Bila bergabung, dengan kekuatan kedua-dua NGO ini pasti akan menghasilkan kerjasama luar biasa,” katanya.
Untuk makluman, PRIHATIN melaksanakan agenda bantuan pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Penjara dan barisan selebriti tanah air.