SHAH ALAM – Selama ini sangkaan seorang lelaki yang bergelar suami hanya menjadi ‘king’ atau dilayan sebagai raja semata-mata dalam rumah tangga.
Bagaimanapun, demi kebahagiaan dan kasih dan sayang terhadap isteri dan anak-anak, ego itu diturunkan sedikit.
Bukan bermakna merendahkan maruah, tetapi lebih kepada menghormati pasangan, sikap empati yang tinggi selain menggalas tanggungjawab sebenar seorang suami lebih daripada penjaga, pelindung, pembimbing serta pemimpin bersama pasangan.
Pengacara, pelawak dan penyampai radio terkenal, Nabil Ahmad mengambil iktibar terhadap pergolakan rumah tangga pasangan selebriti, dengan sentiasa bermuhasabah dan sebolehnya mencari kekurangan diri untuk diperbaiki demi pasangan dan anak-anak tersayang.
“Saya ambil iktibar ke atas apa saja berlaku sekarang ini, muhasabah diri cari apa lagi tanggungjawab aku yang belum selesai.
“Saya sangka sebelum ini, aku kerja, aku cari duit, nafkah, yang lain (kerja rumah) kau (pasangan) buat, kau hantar anak sekolah, kau juga yang ambil balik sekolah.
“Malah saya juga menyangka, balik rumah macam king, saya malas buat itu ini, tapi bila tengok keadaan sekarang, saya cakap pada isteri, benda yang tak pernah saya cakap sebelum ini.
“Saya tanya, ada apa-apa kah yang saya boleh bantu hari ini? apa saya boleh buat, saya kena bawa awak beli belah? saya kena ambil anak ke? Ia jadi sampai kita terlebih beri perhatian pada pasangan,” katanya mengulas beberapa rakan artis berdepan isu rumah tangga.
Nabil bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu, sebaliknya bersyukur kerana beroleh isteri, Nazirah Ayub yang cukup sabar melayan kerenah dan perangainya selama menempuh alam perkahwinan.
“Saya sebenarnya gembira sebenarnya apabila terlebih beri perhatian, sebab isteri jadi lebih gembira, bebel pun kurang.
“Jadi, sebenarnya setiap pasangan kena saling bersabar. Sebagai suami pun, kena buat tanggungjawab dengan betul.
“Saya sendiri kena beri 100 peratus komitmen pada isteri saya sebab dia paling banyak bersabar, dan terima kekurangan saya, nasihatkan saya, kalau saya balik rumah marah-marah penat, dia tak cakap banyak, mahkamah dekat saja (berdekatan rumah),” selorohnya.
Nabil turut mengakui dia juga takut dengan isteri namun ia disebabkan sayang dan tidak mahu memperbesarkan isu yang remeh.
Pelakon itu juga mengakui wanita kini juga sudah tahu jika di mahkamah syariah sebenarnya, mereka boleh membuat pelbagai tuntutan dan hak mereka, termasuk anak-anak.
Untuk rekod, Nabil dan isteri, Nazirah Ayub melayari bahtera rumah tangga sejak 2011 dan dikurniakan tiga anak iaitu Naira Miykayla, Layla Medyna dan Mishall Imani.