SICHUAN (CHINA) – Seorang pemuda dari wilayah di Sichuan di China membuang masa sehingga 20 jam melutut di hadapan tempat bekerja bekas teman wanitanya untuk memujuk wanita itu menerimanya kembali.
Kejadian itu viral dalam media sosial di China berlaku di Dazhou City.
Dia dikatakan mula melutut pada pukul 1 tengah hari 28 Mac lepas dan terus berlutut sehingga pukul 10 pagi esoknya tanpa mengira cuaca hujan, sejuk serta orang ramai yang lalu lalang.
Pada mulanya, tiada sesiapa pun memberikan perhatian kepada dia yang melutut bersama dengan jambangan bunga mawar merah.
Walaubagaimanapun, semakin masa berlalu orang ramai mula menyedari lelaki itu sedang melakukan satu perkara yang ganjil.
Kemudian, orang ramai mula berkumpul di sekeliling lelaki itu.
“Tak perlu sampai berlutut. Perempuan itu tidak mahu berjumpa dan kamu masih di sini, menjatuhkan maruah kamu,” kata seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Li kepada lelaki itu tetapi ia tidak mahu berganjak.
Lelaki itu tidak menghiraukan apa nasihat orang ramai sehingga terpaksa menghubungi polis untuk membuatnya meninggalkan tempat itu tetapi tidak berkesan.
Menurut polis, lelaki itu berkata teman wanitanya memutuskan hubungan mereka beberapa hari sebelum itu dan dia mahu meminta maaf dengan wanita itu dan meneruskan semula hubungan.
“Salah ke saya berlutut di sini, jika tidak salah, biarkan saya sendiri,” kata lelaki itu bila anggota polis cuba untuk memujuknya beredar.
Memetik laporan The South China Morning Post, lelaki itu akhirnya mengambil jambangan bunganya dan kemudian meninggalkan tempat itu dipercayai kerana tidak mampu menahan cuaca yang sejuk.
Tidak diketahui apa yang menyebabkan teman wanita lelaki itu meninggalkannya.