KUALA LUMPUR – Dugaan aktres Puteri Sarah Liyana untuk menuntut cerai tidak pernah terhenti, malah dia konsisten dengan pendiriannya sejak awal.
Puteri Sarah Liyana yang dikenali sebagai seorang periang pada setiap kemunculannya di media, akhirnya terpaksa menyerlahkan wajah paling kecewa bercampur linangan air mata yang didiamkannya selama ini kerana konflik rumah tangga dengan pengarah sensasi, Syamsul Yusof.
Dalam hantaran terbaharu di Instagramnya, Puteri Sarah, 38, mengakui perkara yang paling dikesalkan dalam hidupnya adalah ialah berkahwin dengan Syamsul.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana mendapat mentua iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail yang disifatkan terbaik dalam hidupnya.
Bagaimanapun, Puteri Sarah sempat menyelitkan Syamsul sebagai lelaki narsisistik iaitu sejenis gangguan personaliti di mana seseorang individu itu mempunyai rasa kepentingan terhadap dirinya sendiri.
Hari ini, Puteri Sarah juga memadam semua hantaran dibuatnya sebelum ini di Instagram mengenai konflik rumah tangga mereka kerana sudah penat dengan urusan perceraian yang belum selesai.
Dia juga sudah tidak peduli sekiranya Syamsul mahu membayar nafkahnya atau tidak kerana dia tidak mahu sesen pun harta Syamsul.
“Saya padam semua hantaran saya sekarang bukan kerana takut, tetapi saya sangat penat. Serius, saya penat dengan semua drama ini.
“Kepada Mohd Shamsul (Syamsul Yusof), kau tak nak bagi nafkah aku? Suka hati kau. Kau nak menang? Kau menanglah, aku kalah. Kau jawab kat akhirat nanti. Saya hanya mahu keluar dari perkahwinan toksik ini.
“Saya hanya mahu teruskan kehidupan dan bergembira dengan anak-anak saya.
“Mama dan papa akan sentiasa kekal pada saya sebagai mama dan papa hingga ke syurga. U (Awak) nak menang? U (Awak) ambillah semua harta u (awak). Aku tak nak satu sen pun. Cuma hak anak sebagai ayah bertanggungjawab. Lepaskan aku, ceraikan aku,” tulisnya.
Puteri Sarah turut memuat naik video berdurasi satu minit dan 31 saat untuk menjelaskan segala terbuku di hati berteman air mata.
Katanya, dia tidak mahukan harta Syamsul kerana boleh bekerja mencari rezeki dan meminta diceraikan secara baik untuk mencari kebahagiaan sendiri selepas sekian lama tidak mendapat layanan, kasih sayang sebagai isteri yang sewajarnya.
Sebelum ini, Syamsul dan Puteri Sarah dilaporkan mencapai kata sepakat untuk membawa haluan masing-masing, selepas pengarah berkenaan sebelum ini enggan melafazkan cerai kepada pelakon itu.
Bagaimanapun, 18 April lalu, Syamsul sekali lagi enggan melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, selepas kedua-dua belah pihak didapati gagal mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara selepas itu.
Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah bernikah pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5 tahun.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul membuat pengakuan sudah bernikah dengan Ira Kazar di Thailand yang berwakil walikan bapanya, aktor Kazar Saisi.
Untuk makluman, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, ada menyebut perkataan Narsisistik (NPD), iaitu gangguan personaliti apabila seseorang individu itu mempunyai rasa kepentingan terhadap dirinya sendiri.
Kebanyakan penghidap NPD tidak menganggap bahawa diri mereka sedang mempunyai masalah atau gangguan.
Bagaimanapun, menurut kajian, orang lelaki lebih mudah mengalami gangguan personaliti ini berbanding wanita.
Malah ia juga mudah berlaku seawal umur kanak-kanak.
Antara simptom individu NPD dipercayai boleh dikesan iaitu melalui cara bagaimana hubungan dan layanannya terhadap anak-anak, jika sudah berkahwin dan mempunyai keluarga.
Menurut perkongsian video oleh seorang wanita pengguna akaun Tiktok wahidatulasma berdurasi 1 minit, dengan ulang tayang lebih 100,000 kali, mendedahkan individu NPD tidak mampu mengendalikan dan menguruskan anak, tanpa pasangan di sisi sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam.
Malah, katanya individu ini hanya menunjukkan kasih sayang ‘palsu’ kepada anak-anak, nampak macam sayang tetapi sebenarnya dia tidak mampu memberikan komitmen sepenuhnya dalam hidup.
“Anak-anak hanya watak sampingan dalam hidup dia, sebagai hiburan, tempat mengisi kebosanan. Dia tak sayang pun.
“Kalau anak meragam, beri makan, bagi tidur, nak tinggalkan anak kepada dia dalam 24 jam, dia tak mampu (jaga) dengan penuh tanggungjawab dan amanah,” katanya.
Dakwanya, individu NPD nampak seperti sayang anak, apabila anak juga kelihatan bahagia dengannya.
Ada dakwaan juga mengatakan perempuan cerdik pandai, jadi dungu selepas kahwin dan selepas disiasat rupa-rupanya menerima ‘gaslighting’ daripada suami NPD.