KUALA LUMPUR – Hanya menjadi diri sendiri, tidak mahu menipu diri dan orang lain, malah tidak menyalahkan sesiapa dan tidak peduli tanggapan orang luar antara luahan hampir senada oleh selebriti wanita yang tidak lagi bertudung litup.
Beberapa selebriti wanita tanah air tidak lagi bertudung litup sejak beberapa tahun kebelakangan kerana mahu menjadi diri yang sebenar.
Bagaimanapun, mereka tidak pernah menyalahkan sesiapa meskipun dikecam bertubi-tubi oleh netizen.
Difahamkan, kebanyakan mereka yang bertindak sedemikian sebenarnya tidak bertudung pada asalnya.
Mengambil langkah positif, ada yang menutup ruangan komen bagi mengelak netizen meninggalkan komen berbaur negatif di laman media sosial milik masing-masing, malah ada yang lebih keras hatinya dengan membiarkan dan melihat sahaja reaksi serta kerenah netizen.
Awal tahun ini, pelakon Tash Yong membuat keputusan untuk membuka tudung litup, bagaimanapun tetap menerima cercaan dengan hati terbuka.
Pelakon drama Menantu Ting Tong itu juga enggan menyalahkan sesiapa berhubung keputusan itu, sebaliknya mengakui sendiri ia berlaku atas tanggungjawab dan kekhilafan diri.
Syawal tahun ini pula, netizen digemparkan dengan raya tanpa bertudung oleh beberapa selebriti termasuk isteri kepada penyanyi dan komposer, Haqiem Rusli iaitu Anis Sofea.
Anis, menjadi perhatian netizen selepas berkongsi foto ketika menyambut Aidilfitri di Instastoriesnya dengan mengenakan busana raya berwarna merah dan mendedahkan rambut hitam yang ditutupnya selama ini.
Lebih mengejutkan apabila pelakon muda, Alya Iman, yang terkenal dengan imej bertudung pada awal kemunculannya dalam industri kira-kira empat tahun lalu, kini tampil dengan gaya kurung moden biru dan rambut berkepuk warna perang, 1 Syawal lalu.
Dia juga enggan terus menipu netizen di media sosial, terus hipokrit dan membohongi semua orang bahawa di kaca media sosial sahaja bertudung litup tetapi bukan dalam kehidupan sebenar.
Penyanyi, Intan Sarafina juga jelas kembali membuka tudung selepas memuat naik foto raya bersama keluarganya di Finland, tahun ini, di IG.
Pemilik nama sebenar, Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya, 41, itu dilihat manis mengenakan baju kurung berwarna merah jambu dan rambut panjang lepas, ditemani suami dan anak-anak.
Seorang lagi pelakon cantik, Datin Seri Zizie Izette, 45, berkongsi foto raya dengan rambut merah keseluruhan, beserta pesanan di hantaran sama.
Isteri kepada Datuk Seri Bung Mokhtar Radin itu, memuat naik hantaran sinis dipercayai mempunyai kaitan dengan penampilan terbaharunya yang tidak bertudung.
Katanya, dia tidak peduli tentang tanggapan orang terhadap dirinya, malah tidak mempunyai masa untuk berfikir tentang orang lain.
“Sebab saya tak ada masalah dengan sesiapa pun, tapi kalau tak suka pada saya itu masalah anda.
“Hidup ini terlalu indah untuk mengambil tahu tentang apa yang orang lain fikirkan tentang diri kita.
“Sebab tu ada orang kata kejahilan adalah kebahagiaan,” tulisnya sinis.