PETALING JAYA – Selebriti, Boy Iman atau Norul Iman Abdul Rahman yang sebelum ini dikaitkan sebagai “scammer” hartanah dihadap sekali lagi ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan menipu.

Boy Iman, 43, antara empat tertuduh termasuk dua wanita iaitu Norazah Sahud, 51, Norzana Rapie @ Rafie, 51, selain Nor Azmi Jantan, 49, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu dalam urusan penjualan atau penyewaan tapak perniagaan (booth) Festival beli-belah Hoorrey X Fest Raya, tular baru-baru ini.

Kesemua pengakuan dibuat sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Majistrest Noorelyanna Hanim Abdul Halim.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah menipu seorang wanita iaitu Siti Wardina Basir, 21 dengan memperdaya mangsa dalam urusan penjualan atau penyewaan tapak perniagaan (booth) festival berkenaan.

Tindakan mereka itu telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang sebanyak RM1,500.

Perbuatan itu dilakukan sekitar jam 2.34 pagi, pada 19 April lalu, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin yang kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 kepada setiap tertuduh.

Namun, keempat-empat tertuduh yang diwakili peguam Mohama Syakir Mohamad Fawzi dan Earnest Azad memohon ikat jamin paling rendah kerana masing-masing mempunyai tanggungan.

Noorelyanna kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 13 Jun depan.

Sementara itu, seorang lagi individu bergelar Datuk dan juga pengarah sebuah syarikat berusia 23 tahun yang sepatutnya dituduh hari ini tidak didakwa bersama kerana dimasukkan ke hospital sejak semalam.

Terdahulu, Boy Iman dibawa bersama seorang lagi penganjur penyewaan tapak perniagaan jualan raya Hoorrey X Fest Raya oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), IPD Dang Wangi kira-kira jam 11 pagi.

Media sebelum ini melaporkan, dua termasuk seorang wanita yang juga pengarah serta penganjur festival Hoorrey X Fest Raya ditahan, bagi membantu siasatan berhubung acara berkenaan yang dibatalkan saat-saat akhir pada 19 April lalu.

Karnival jualan raya berkenaan di WTC dibatalkan tiga jam sebelum berlangsung sekaligus menjejaskan peniaga kecil dan menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit.

Ketua Pengarah Eksekutif Tenview (M) Sdn Bhd yang juga penganjur karnival itu, Datuk Mohammad Aliff Hakim dilapor berkata, situasi itu berpunca daripada bayaran untuk lokasi acara tidak dapat dilunaskan kepada kontraktor untuk penyediaan tapak niaga.

Mohammad Aliff yang mengadakan pertemuan dengan peniaga-peniaga yang terkesan Selasa lalu memaklumkan mereka akan mengembalikan wang dalam tempoh tujuh hari dengan mencagar keretanya.

Beliau secara tiba-tiba menyatakan bahawa Boy Iman atau Norul Iman Abdul Rahman merupakan penganjur utama dalam acara ini.

Tambahnya, dia hanya mengikut arahan dari pihak atasan.

Makluman tersebut mendapat kecaman daripada pihak vendor yang rata-rata sangat tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pihaknya.

Lebih 200 vendor terbabit berkumpul di WTC sejak jam 2 petang menuntut bayaran tapak niaga antara RM1,500 hingga RM80,000 setiap seorang yang dibayar kepada Tenview agar dipulangkan.

Boy Iman yang ditunggu-tunggu tidak muncul malah difahamkan sudah berada di Singapura ketika itu.

Terdahulu, peniaga-peniaga yang sudah menempah gerai jualan raya di karnival itu berang apabila ia dibatalkan saat akhir.

Pengumuman itu dibuat pihak WTC yang turut tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian ditanggung.