KUALA LUMPUR – Seramai 38 keluarga miskin dihalau pemaju tanpa sebarang pampasan atau gantian kediaman selepas 150 tahun menetap di Kampung Pinang Sektor C, berhampiran kem tentera, Kem Perdana di Sungai Besi, di sini.
Begitulah nasib mereka yang menetap di tanah lesen pendudukan sementara (TOL) pemberian British sejak tahun 1885 namun akhirnya ia telah dipindah milik kepada pemaju Astana Setia & Euro Niaga Sdn Bhd, pada 2018.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Nambikkai Malaysia (Nambikkai), Datuk Kalai Vanar, berkata, pihak pemaju bagaimanapun telah menyerahkan notis saman kepada penduduk supaya mengosongkan kediaman mereka, pada 21 April lalu tanpa sebarang perjumpaan atau rundingan dengan wakil penduduk sejak mengambil alih tanah itu.
Dakwanya, pemaju mahu membangunkan projek kondominium 37 tingkat dengan harga seunit rumah bernilai anggaran RM300,000 berhampiran kem tentera berkenaan dan ia agak aneh kerana boleh dikaitkan dengan isu keselamatan negara.
“Mengikut Seksyen 9 Akta Kanun Tanah, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), wajar memanggil dan berbincang terlebih dahulu dengan penduduk kerana mereka sudah hampir lima generasi di sini.
“Tetapi tiada perbincangan langsung dibuat malah penduduk yang kebanyakannya veteran tentera, pula menerima notis pengosongan. Tidakkah ia bercanggah dengan akta, ada sesuatu yang tidak kena di sini?.
“Sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menegaskan untuk menolak sebarang pembangunan jika ia akan menjejaskan nasib rakyat,” katanya pada sidang media di kampung berkenaan, di sini.
Bersama beliau, Jururunding Persatuan Penduduk Kg Pinang, Sektor C, Airwan Azali; Pengerusi kampung sama, Pritam Singh dan Aktivis Peguam Navin Punj selain penduduk.
Kalai berkata, pihaknya memberi tempoh selama 14 hari bermula hari ini, bagi menuntut kehadiran pihak pemaju dan menyelesaikan tuntutan termasuk pampasan dan kediaman penduduk yang terlebih dahulu mendiami kawasan itu.
“Kami sebagai NGO akan menulis surat kepada Perdana Menteri, selain Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, terutama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mentadbir kawasan ini.
“Selain itu, kami akan adakan perbincangan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur dan jawatankuasa berkaitan mengenai isu ini,” katanya.
Sementara itu, Airwan mendakwa, penduduk kawasan itu, pernah membuat pembayaran TOL sehingga pada 1990, namun terhenti seketika sehingga pada 1997 untuk menyambung pembayaran, bagaimanapun permohonan mereka ditolak.
“Kenapa tanah dijual tanpa pengetahuan penduduk, kerana sepatutnya ada pihak berbincang dengan penduduk yang lebih lama di sini, jadi saya tidak tahu di mana kecuaian sama ada di pihak PTG, DBKL atau penduduk walhal kita ada memohon untuk anjak lagi pembayaran.
“PTG di bawah Jabatan Perdana Menteri, harap sangat perkara ini dapat bantu nasib kami,” katanya.
Pritam, 62, mewakili penduduk merasa terkilan kerana mengenangkan nasib keluarga miskin di kampung berkenaan seolah diketepikan begitu sahaja demi pembangunan, tetapi tanpa sebarang pampasan.
“Kampung ini 80 peratus daripadanya adalah veteran tentera. Datanglah jumpa kami dahulu, tanya bagaimana keadaan dan nasib kami, ke mana kami akan tinggal jika pemaju ambil alih tanah yang kami duduki sejak 1885.
“Kenapa ada yang disaman sampai lima ahli dalam satu rumah, sedangkan mereka tidak tahu apa-apa mengenai proses pengambilalihan tanah,” soalnya.