CYBERJAYA – Jenama Kelab Anita Bikers/Anita Entertainment & Productions (ANITA), cukup dikenali dalam dunia artis, bahkan sukan permotoran dan program khidmat masyarakat.
Semakin banyak agensi, syarikat korporat dan usahawan tempatan sudi untuk bekerjasama dengan ANITA kerana sentiasa melibatkan program tanggungjawab sosial dan korporat (CSR) dalam program hiburan dan permotoran.
Presidennya, Anita Yusop berkata, ramai sedia maklum bahawa kalendar tahunan Kelab Anita Bikers pastinya tidak lengkap tanpa penganjuran siri jelajah kemanusiaan bermotosikal kuasa besar ke seluruh negara, Sabah dan Sarawak.
Katanya, pada masa yang sama, pihaknya menjadi pemudahcara malah sebagai platform kepada mana-mana agensi dan usahawan tempatan untuk menjenamakan lagi produk serta perkhidmatan mereka melalui siri jelajah kemanusiaan, acara dan program CSR.
“Sebenarnya, tak kira syarikat besar atau kecil, kami selalu bantu untuk memudahkan perjalanan termasuk kewangan atau material.
“Contoh hari ini kita bersama DXN (DXN Holdings Bhd), mereka ada bangunan dengan serba kemudahan, kita cuba bantu meramaikan untuk lihat apa yang kita bawa dalam kempen jelajah, sambil bantu promosi produk tempatan khasnya produk kesihatan.
“Di sini, kita lihat bagaimana cara untuk membantu usahawan tempatan menjana pendapatan, sekali gus menaik taraf ekonomi dan industri seni negara, kita dapat semua dalam satu ANITA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ANITA & DXN meraikan 500 jemputan termasuk anak yatim asnaf daripada Rumah Anak Yatim Nurul Hasannah dan Muhibbah, Ampang, di Grand Ballroom, DXN Cyberville, di sini.
Majlis berkenaan juga sebagai penutup tirai Jelajah Kembara Ramadan ANITA tahun ini, turut meraikan NGO seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), selebriti, ahli Anita Bikers dan pengamal media juga ‘blogger’.
Yang turut hadir, Pengarah Pemasaran DXN, DXN Marketing Sdn Bhd, Ashish Jasani.
Sementara itu, Ashish berkata, sebagai sebuah syarikat besar tempatan berasaskan kulat cendawan Ganoderma, yang sudah bertapak dalam industri perubatan komersil negara selama 30 tahun, beliau tidak menolak untuk terus bekerjasama dengan pihak ANITA kerana melihat kepada pengisian penganjuran yang menarik perhatiannya.
“Pendekatan kita, DXN is for everybody. Kerjasama dengan ANITA adalah kepada pendekatan dengan masyarakat tidak kita anak yatim atai sesiapa sahaja.
“Kita akan bincang rapat lagi dengan ANITA untuk kolaborasi akan datang,” katanya yang turut berkongsi majlis keraian bersama ahli DXN dari luar negara termasuk Filipina, Morocco, Sudan, Nepal, dan Bangladesh.