PADANG BESAR – Seorang pelajar lelaki universiti di Padang Besar, Perlis cedera parah selepas terjatu dari tingkat enam blok kediaman kampusnya di Sungai Chuchuh di sini, semalam.
Pelajar berkenaan, Ubaidul Aqied Bustamam, 24 tahun, yang berasal dari Kulim, Kedah dipercayai tergelincir ketika cuba memanjat untuk masuk ke kediamannya untuk mengambil kunci rumah yang tertinggal.
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah, pihak polis terima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3 petang memaklumkan mengenai kejadian itu.
“Siasatan awal pihak polis mendapati, mangsa adalah pelajar lelaki tempatan berusia 24 tahun yang tinggal di kediaman lokasi kejadian dan berdasarkan maklumat awal, dia dipercayai cuba mengambil kunci kediamannya itu.
“Menurut saksi yang berada di sekitar tempat kejadian, mereka terdengar bunyi seperti sesuatu jatuh sebelum melihat mangsa terbaring serta berlumuran darah di lantai aras bawah bangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa berada dalam keadaan sedar ketika ditemui orang ramai tetapi tidak dapat bergerak kerana kecederaan yang serius.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil. Kita sudah mengambil keterangan beberapa orang saksi bagi membantu siasatan,” katanya.
Pihak polis memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak membuat sebarang andaian berkaitan kejadian itu bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Punca kejadian masih disiasat dan polis turut memohon kerjasama saksi lain yang berada di tempat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan pihak polis.
Sebarang maklumat boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Mohd Izham Aziz di talian 017-5387986.