KUALA LUMPUR – Program keluarga nombor satu di Malaysia, I Can See Your Voice Malaysia kembali lagi dengan musim keenam (ICSYVMY 6).
Program bercorak muzik misteri ini adalah adaptasi daripada sebuah program popular Korea Selatan yang berjudul sama.
Jika musim lalu menampilkan tiga ahli panel penyiasat, tetapi pada musim kali ini tampil berbeza dengan penambahan satu lagi ahli panel penyiasat yang pasti memeriahkan lagi suasana studio.
ICSYVMY 6 akan bersiaran selama 11 episod dan membuka tirainya bersempena meraikan Sambutan Ulangtahun TV3 ke-39 iaitu bermula pada 4 Jun, setiap hari Ahad, jam 9.00 malam di TV3.
Penonton juga boleh strim langsung secara HD menerusi Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.
ICSYVMY 6 musim ini menampilkan Digi oleh CelcomDigi sebagai penaja utama, Nivea sebagai penaja bersama, serta Cadbury Dairy Milk dan OPPO sebagai rakan penaja.
Tugasan mengacara pada musim ini digalas oleh pelakon dan penyanyi terkenal yang tidak asing lagi dalam dunia hiburan iaitu Izzue Islam dan Shiha Zikir.
Ini adalah gandingan kali pertama mereka di atas pentas yang sama khas untuk menghiburkan peminat setia ICSYVMY.
Hujung minggu penonton bakal diceriakan lagi dengan pelbagai gelagat yang pasti menghiburkan dari panel penyiasat tetap yang terdiri daripada pelakon, penyanyi dan pelawak terkenal tanah air iaitu Jihan Muse, Khir Rahman, Baby Shima dan Ropie.
Selepas Jihan membuat ‘comeback’ di pentas Anugerah Juara Lagu 37, dia kini kembali semula ke ICSYVMY bagi memikul tanggungjawab sebagai barisan panel penyiasat tetap pada musim ini.
Program muzik misteri ini memerlukan kata sepakat bagi mengenal pasti dan membuat keputusan siapakah penyamar.
Dengan itu, panel penyiasat tetap akan memperoleh bantuan dari penyiasat undangan yang berlainan setiap episod.
Antara penyiasat undangan yang akan meriuhkan lagi suasana adalah Maryam Younarae, Cik B, Joey Daud, Sweet Qismina, Bell Ngasri, Mek Yun, Fizi Ali, Roy Azman dan ramai lagi.
ICSYVMY 6 mempunyai 4 pusingan untuk artis jemputan mengenal pasti dan menyingkirkan penyamar bersuara sumbang di 3 pusingan awal.
Jika peserta yang berjaya mara ke pusingan akhir ialah seorang penyamar, beliau bakal memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dan bukan itu sahaja, pemenang bagi setiap episod juga akan membawa pulang bekalan produk Cadbury selama setahun.
Manakala penyanyi sebenar akan mempunyai peluang untuk merakamkan sebuah single bersama artis popular tanah air.
Sidang produksi ICSYVMY 6 kali ini diketuai oleh Jamil Hassan selaku Penerbit Eksekutif dan Shahrizan Razalli sebagai Penerbit.
Sejak diperkenalkan, ICSYVMY telah mencipta fenomena tersendiri yang membuatkan sesi uji bakat untuk setiap musim sentiasa menerima sambutan yang luar biasa.
Sesi ujibakat musim baharu yang telah diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama pada 17 Mac hingga 19 Mac yang lalu telah menerima lebih daripada 700 penyertaan.