Susulan berita tular mengenai sembilan pendaki dunia maut ketika menawan puncak Everest, ramai yang bertanyakan keadaan suami saya, Ravichandran Tharumalingam yang dalam misi Ekspedisi Himalaya Sports Everest-Lhotse 2023, sejak April lalu.
Untuk makluman rakyat Malaysia, beliau terpaksa dikejarkan ke hospital di Kathmandu, Nepal dengan menaiki helikopter pada 18 Mei 2023, akibat kecederaan dijarinya radang dingin (frostbite) berulang kembali ketika hanya 200 meter untuk sampai ke puncak gunung keempat tertinggi dunia, Lhotse, yang berketinggian 8,516 meter.
Namun, beliau berjaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera penaja Himalaya Sports di gunung tertinggi di dunia, Everest berketinggian 8,848 meter pada 17 Mei 2023 jam 12 tengahari (waktu Nepal), untuk kali yang ke-4.
Untuk pengetahuan semua, beliau menyertai Ekspedisi Himalaya Sports Everest-Lhotse 2023 dalam cubaan melakar rekod negara apabila menjadi pendaki Malaysia pertama menawan puncak Gunung Lhotse selepas mengibarkan bendera di puncak Gunung Everest, dengan hanya mengambil masa 24 jam. Walau bagaimanapun, sokongan dan doa rakyat Malaysia amat diperlukan agar beliau cepat sembuh dan pulih sedia kala.
“Saya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt. Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang dilaporkan meninggal dunia ketika dalam misi menawan Everest menerusi Malaysia Everest 2023 (ME2023), hari ini, kata Isteri Pendaki Solo Negara Ravi Everest, Puan Leela Ramamurthy dalam satu kenyataan medianya.
Kata Puan Leela, Ravi Everest yang kini sedang menerima rawatan akan pulang ke tanah air dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Mei 2023 (Ahad) jam 9 pagi (waktu Malaysia).