KUALA LUMPUR – Filem epik Tamil bertaraf mega, Ponniyin Selvan : Part 2, tercatat dalam lipatan sejarah negara menerusi pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai filem India pertama ditayangkan dalam pawagam premium format empat dimensi (4DX).

Filem sentuhan pengarah perfileman Tamil terkemuka India, Mani Ratnam dan penerbit, Subaskaran itu adalah satu-satunya naskhah industri Bollywood/Kollywood yang berjaya menembusi pawagam berformat 4DX negara, Golden Screen Cinemas Sdn Bhd (GSC).

Bukan itu sahaja, MSK Cinemas Sdn Bhd, selaku pengedar utama Malaysia filem berdurasi 165 minit, dan mula ditayangkan pada 28 April lalu, kini sudah mencecah kutipan jualan sehingga RM9juta, malah masih mendapat permintaan sehingga hari ini.

Pengarah MSK Cinemas Sdn Bhd, S Saradha berkata, pihaknya menghargai peluang yang diberikan pihak MBOR dan GSC kerana dapat memperkenalkan filem Tamil dari India, ke dalam bentuk format ‘rasai pengalaman sebenar’ dalam pasaran hiburan negara.

“Format pawagam 4DX hanya ada di empat lokasi di seluruh negara. Belum ada lagi filem Bollywood, Kollywood yang ditayangkan dalam pawagam format 4DX ini kecuali Ponniyin Selvan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penerimaan Sijil MBOR di Aurum Theaters GSC, The Garden Mall, di sini.

Turut hadir, wakil MBOR, Nazrul dan Pengurus Cawangan GSC Garden Mall, Hi Ai Ling.

Ponniyin Selvan: Part 2 adalah kesinambungan naskhah pertama, yang ditayangkan pada Oktober 2022, pernah mengutip RM130 juta di seluruh dunia dalam tempoh tiga hari ditayangkan di pawagam.

Ia diadaptasi menerusi novel berusia lebih 70 tahun oleh penulis prolifik, Kalki Krishnamurthy.

Ia mengisahkan Dinasti Chola iaitu raja yang menjadi kebanggaan kaum India kira-kira 1,000 tahun lalu, dan diangkat dalam filem.

Penampilan hebat bintang kesayangan dunia, Aishwarya Rai menambah lagi tarikan filem yang turut dibarisi pelakon handalan lain seperti Vikram, Karthi, Jayam Ravi dan Trisha.

Sementara itu, Saradha yang juga seorang pelakon, penerbit, dan pengarah filem berkata, pihaknya merancang untuk menerbitkan filem Melayu, pada masa akan datang.

“Kami ingin membawa filem yang ada prospek dan jangkaan tinggi. Kami juga akan terbitkan filem tempatan, seperti filem Melayu nanti,” katanya.

Untuk rekod, format tayangan 4DX merangkumi pelbagai teknologi terkini termasuk sistem audio terbaharu Dolby Audio 7.1, kombinasi beberapa komponen audio IMS3000 dan sistem pembesar suara secara menyeluruh.

Lebih istimewa, ia dilengkapi kerusi 4D motion bergerak, mempunyai kesan khas seiring aksi filem di skrin, dengan lebih 20 tindak balas maya termasuk haba, asap, angin, getaran dan pergerakan yang memberi peluang kepada penonton untuk merasai pengalaman berada dalam filem di dunia sebenar.