KUALA LUMPUR – Walaupun aura mereka tidaklah sehebat rakan seperjuangan popular yang lain, namun persembahan kumpulan dari Indonesia, Wali Band begitu dinantikan oleh peminat setianya di sini.
Tampil pada Konsert Dream Festival Collaboration Vol. 2, persembahan Wali Band turut disertai oleh Floor 88 dan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur dalam suasana meriah dan menghiburkan.
Terkenal dengan lagu Cari Jodoh, kumpulan yang dianggotai oleh Faank selaku vokalis, Apoy (gitaris), Ovie (keyboard) dan Tomi (dram), masing-masing meluahkan rasa teruja dan tidak sabar bertemu serta menghiburkan peminat yang hadir.
Membuka tirai persembahan dengan lagu realigi, ia bukan alasan untuk penonton berdiam dan peluk tubuh, sebaliknya mereka semakin galak menari dan sama-sama menyanyikan lirik-lirik lagu kumpulan itu.
Antara lagu yang dipersembahkan ialah Cari Berkah, Si Udin Bertanya, Nenekku Pahlawanku, Emang Dasar, Puaskah, Dik, Doaku Untukmu Sayang.
Tidak ketinggalan lagu-lagu popular mereka seperti Baik-Baik Sayang, Kekasih Halal, Taubat Maksiat, Ada Gajah Dibalik Batu, Yank, Aku Bukan Bang Toyib dan yang paling dinanti-nantikan, Cari Jodoh sebagai penutup malam persembahan.
“Alhamdulillah syukur tidak sangka lagu kami menjadi pilihan dan Cari Jodoh begitu diminati di sini.
“Kami memang tidak sangka lagu itu begitu digemari oleh peminat di Malaysia,” katanya ketika ditemui sebelum konsert berlangsung.
Dalam pada itu, Faank berkata, mereka dalam perancangan menghasilkan single terbaharu yang dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Insya-Allah lagu itu juga mungkin mengikut apa yang peminat di Malaysia mahukan,” katanya yang turut mengakui sukakan Nasi Lemak dan Durian.
Sementara itu, Floor 88 juga tidak berdiam diri apabila tampil dengan persembahan pembukaan yang memukau dan penuh bertenaga.
Mereka menghiburkan peminat dengan lagu-lagu hits seperti Chikadun, Zalikha, Roadblock Hatiku, Kong Kali Kong dan Hutang.
Berkongsi perasaan dapat bersama-sama di satu pentas dengan Wali Band, masing-masing mengakui teruja kerana sejak dulu meminati lagu-lagu kumpulan itu.
“Kami berharap dapat bekerjasama lagi pada masa akan datang dan jika ada rezeki kami mahu membuat persembahan di Indonesia pula,” kata mereka.
Berlangsung selama kira-kira tiga jam, konsert itu berjaya memukau penonton dengan kehebatan susun atur muzik yang padu, sistem bunyi yang gempak serta semangat dari Wali Band dan Floor 88 yang luar biasa.
Lebih istimewa untuk penonton, Faank turut berduet dengan Ayie dan mempersembahkan lagu popular Wali Band, Cari Jodoh.