Sumber foto – 1MDb
Malaysia sekali lagi mencatat sejarah baharu, menerusi filem seram, Tiger Stripes arahan pengarah wanita tempatan, Amanda Nell Eu, dengan meraih hadiah utama di Minggu Kritik Festival Filem Cannes (Cannes Critics’ Week).
Cannes Critics’ Week (Semaine de la Critique) adalah acara sampingan sempena anugerah berprestij dunia, Festival Filem Cannes.
Amanda membawa pulang wang tunai RM49,400 (€10,000) sekali gus menjadikannya pengarah wanita pertama Malaysia dan Asia Tenggara yang membanggakan negara.
Tiger Stripes adalah filem cereka Malaysia keempat di Cannes, dan yang pertama sejak 2010 selepas Kaki Bakar ( U-Wei Saari), Karaoke (Chris Chong Chan Fui) dan The Tiger Factory (Woo Ming Jin).
Tiger Stripes juga adalah hasil terbitan bersama antara lapan wilayah termasuk Malaysia (Ghost Grrrl Pictures diasaskan Amanda), Singapura, Taiwan, Perancis, Jerman, Belanda, Indonesia dan Qatar.
Proses pembikinan filem berlaku pada tahun 2018 dan melalui beberapa fasa penambahbaikan sejak dua tahun lalu.
Ia dibintangi oleh pelakon terkenal tanah air seperti Shaheizy Sam, selain Zafreen Zairizal, Deena Ezral.
Tiger Stripes, karya tempatan dalam bahasa Melayu mengisahkan seorang remaja perempuan berusia 12 tahun, Zaffan mengalami tekanan dan perubahan drastik sewaktu mencapai usia akil baligh.
Zaffan dipulaukan oleh masyarakat kerana dianggap pelik.
Selepas membuat keputusan untuk melawan rasa takut dan menerima semua keanehan tentang dirinya, Zaffan mula berubah dan muncul sebagai seorang wanita yang kuat.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan filem ‘Tiger Stripes’ kerana merangkul anugerah utama pada Minggu Kritik Festival Filem Cannes, menerusi akaun Facebook, pada Khamis.
Filem itu juga dicalonkan untuk anugerah kategori filem pertama terbaik, bagaimanapun masih belum diumumkan.