SHAH ALAM, 25 MEI 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor serbu dan berjaya selamatkan anggaran sejumlah 25 ribu liter bahan api disyaki jenis diesel daripada sebuah premis jenis stor tanpa nombor. Stor tanpa nombor yang diserbu disyaki wujud perlakuan/ aktiviti penyelewengan bahan api diesel bersubsidi. Stor tersebut terletak di Serdang, Selangor.

Tindakan serbuan ini telah dilaksanakan pada 23 Mei 2023 seawal jam 5 pagi dan selesai sepenuhnya pada pada 24 Mei 2023.

Tindakan pasukan operasi serbuan digerakkan di bawah Ops Tiris ini telah melibatkan sejumlah tujuh (7) anggota Penguat Kuasa KPDN Selangor. Asas tindakan ini adalah hasil risikan selama dua (2) minggu oleh pasukan risikan serta turut mengambil kira maklumat/aduan daripada orang awam yang mencurigai perlakuan/aktiviti yang melibatkan bahan api dan seterusnya membawa kepada tindakan serbuan pada kali ini.

Semasa serbuan dilakukan, pasukan serbuan menemui dua (2) individu sedang berada di dalam stor dan berlaku aktiviti pengalihan/ pemindahan bahan api oleh kedua-dua individu tersebut. Aktiviti pemindahan tersebut melibatkan daripada sebuah lori tangki berisi bahan api yang telah lengkap dengan hos penyambung dan bersedia untuk disedut keluar serta dimasukkan ke dalam skid tank yang berada di dalam stor tersebut. Tangkapan telah dibuat ke atas kedua-dua individu tersebut bagi tujuan siasatan serta keperluan rakaman percakapan. Kedua-dua yang ditangkap adalah lelaki, warganegara Malaysia dan masing-masing berumur 52 tahun dan 43 tahun.

Berdasarkan siasatan awal hasil daripada tindakan serbuan, dipercayai keduadua individu tersebut mempunyai hubungan urus niaga jual dan beli bahan api yang dirampas di dalam kes ini.

Tindakan sitaan melibatkan kenderaan telah dilakukan terhadap sebuah lori tangki berisi bahan api yang disyaki diesel dengan anggaran jumlah 11,000 liter.

Sitaan juga dibuat ke atas dua (2) unit skid tank berisi bahan api disyaki diesel dengan anggaran 10,000 liter dan 4,000 liter.

Anggaran jumlah keseluruhan sitaan melibatkan bahan api disyaki diesel adalah 25,000 liter (melibatkan sebuah lori tangki berisi dan 2 unit skid tank berisi).Nilai sitaan melibatkan bahan api yang disita adalah melebihi RM53,000 dalam kes kali ini.

Sitaan turut dilakukan ke atas peralatan/ instrumen yang digunakan semasa aktiviti mengalih bahan api ditemui semasa serbuan. Anggaran nilai keseluruhan sitaan dalam kes ini mencecah RM300,000.

Kesemua barang yang dirampas disimpan dan dikawal rapi di bawah Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Selangor.

Potensi kesalahan dalam kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, Seksyen 21, AKB 1961- memiliki barang kawalan dengan menimbulkan syak yang munasabah dengan niat untuk melakukan kesalahan dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 – berurusan barang kawalan berjadual tanpa lesen.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi Satu Juta Ringgit Malaysia (RM1,000,000.00) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta ini.

KPDN Selangor menegaskan pihaknya, akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang yang dikuatkuasakan di bawah KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan ke atas barangan bersubsidi yang merupakan antara salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga.

KPDN Selangor juga meminta pengguna untuk menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan perdagangan domestik di saluran rasmi berikut :

i. WhatsApp 019-2794317/ 019-8488000
ii. Portal e-aduan KPDN
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdn.gov.my
v. Ez ADU KPDN
vi. Bilik Gerakan KPDN Selangor (setiap hari 8.00 pagi-6.00 petang) 03 5514 4393

Leave a Reply