OLEH: SHAHBUDIN EMBUN

ANTARA isu yang hangat dibicarakan di media sosial sejak kebelakangan ini ialah tentang filem ANWAR: THE UNTOLD STORY.

Sudah pastinya bagi mereka yang merupakan pembenci, semua aspek tentang filem tersebut dianggap tidak bagus dan tidak memuaskan. Bahkan ada yang menggelarnya hampeh hinggakan memberi penilaian 1/10 sahaja.

Dan bagi mereka yang tahu serba sedikit tentang filem dan yang selalu membuat ulasan tentang filem, memberikan pula penilaian yang berdasarkan kepada kekuatan atau kelemahan sesuatu filem itu.

Golongan pengkritik filem yang sebenar memberikan komen yang pelbagai. Ada yang mengkritik tentang suntingan dan jalan cerita yang dianggap tidak kemas.

Ada juga yang menganggap lakonan beberapa pelakon tidak mencapai tahap sepatutnya. Begitu juga dari segi penyampaian dan lontaran dialog yang mana kita tahu, ia dilontarkan oleh beberapa pelakon Indonesia. Mereka dilihat, tidak dapat menggarap lenggok bahasa Melayu dengan baik.

Pelbagai lagi komen dan kritikan yang diberikan pada filem ini. Komen-komen seperti ini adalah biasa dan tidak bias. Jika ada kelemahan, dinyatakan apakah kelemahan tersebut dan jika ada kekuatan, dinyatakannya juga.

Contohnya, ada pengkritik yang memuji muzik latar serta beberapa adegan emosi yang berjaya dipaparkan dengan baik sehingga mampu menitiskan air mata kita.

Dan masih terbayang-bayang juga bagaimana Anwar dipisahkan daripada keluarganya. Ungkapannya kepada isteri tersayang ”Azizah..jaga anak anak..” merupakan kata-kata yang boleh meruntun jiwa dan perasaan. Dan tentunya ramai yang masih ingat tangisan anak-anak apabila dipisahkan dengan Anwar .

Begitu juga dengan keadaan Anwar di lokap polis, tidak bermaya dengan baju yang penuh darah, namun masih tidak cukup untuk melunturkan semangat juangnya.

Penonton dapat melihat ketabahan dan kecekalan Anwar menanggung derita dan kesakitan setelah dipukul hingga memberikan kesan kesihatan serta lebam matanya.

Apapun, filem ini perlu ditonton oleh mereka yang ingin tahu tentang perjuangan Anwar sejak dari muda lagi. Dia dimarahi oleh ibunya ketika zaman kanak-kanak kerana mencuri buah.

Kemudian dia berdepan dengan masalah mereka yang tidak senang dengan cita-citanya untuk membanteras rasuah. Anwar beberapa kali dinasihat dan diberi amaran yang dia akan berdepan dengan pelbagai masalah jika tidak mengikut “lenggok tari “ mereka yang mengamalkan korupsi.

Namun Anwar tetap berdegil . “Kalau takut dengan risiko, jangan bicara soal perjuangan” menjadi moto yang diperjuangkannya.

Anwar dengan jelas tidak mahu kaum keluarganya mendapat apa-apa kelebihan dan mendapat layanan istimewa apabila dia mula menapak dalam dunia politik, khasnya ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.

Arahan ini sememangnya diperakui sendiri oleh pegawai Kementerian Kewangan yang pernah bekerja di bawah Anwar dahulu.

Bagi generasi muda hari ini dan mereka yang tidak sempat merasai zaman reformasi , tontonlah filem ini. Mungkin filem ini, tidak mampu untuk memberikan jawapan pelbagai persoalan yang timbul ketika menontonnya.

Namun sekurang-kurangnya akan membuka minda generasi baharu ini untuk mengkaji semula pelbagai isu yang disuara dan dipaparkan dalam filem ini.

Atas sebab ini sudah cukup bagi saya menganggap ANWAR: THE UNTOLD STORY, merupakan sebuah filem yang berjaya. – UtusanTV

Leave a Reply