PETALING JAYA – Program pembangunan usahawan untuk belia yang berpotensi mengembangkan produk dan khidmat mereka ke pasaran global melalui kursus bimbingan dan latihan strategi eksport, SAY ASPIRE kembali untuk edisi keempat.
Memilih 3 usahawan sebagai pemenang, pada kali ini syarikat pembekal ujian kit halal, Global Haltech Sdn Bhd, MGR Malaysia Sdn Bhd (pengeluar biskut dan snek Chemilan) dan H&S Delight (M) Sdn Bhd pengeluar kiub masakan dipilih sebagai pemenang.
Program yang diadakan sejak 2018 itu dianjurkan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor melalui agensi baginda, Selangor Youth Community (SAY) yang berpusat di Shah Alam.
Untuk edisi pada tahun ini, program bermula sejak Mac sehingga Mei 2023 dan memberi impak kepada 30 usahawan IMKS di Selangor yang bersedia untuk menerokai pasaran global.
Namun begitu, hanya 10 usahawan yang layak bertanding ke peringkat akhir membuat pembentangan mengenai produk mereka dan 3 usahawan yang layak memenangi program ini.
Menjadi satu-satunya produk berbeza daripada usahawan yang lain, pemenang tempat pertama, Global Haltech, Ketua Pegawai Eksekutifnya Hasniza Ramli berkata, pihaknya menyasarkan membekal produk berkenaan di luar negara sejak dimulakan pada 2019.
“Kami menyasarkan empat Negara untuk tahun 2024 iaitu Indonesia, Jepun, United Kingdom dan Australia.
“Kami memilih empat negara ini kerana melihat populasi rakyat yang ada di empat negara berkenaan.
“Kit halal ini dihasilkan untuk menguji halal apa jenis produk dipasaran yang terdapat bahan seperti babi.
“Selain menyasarkan syarikat dan agensi kami juga menyediakan kepada individu yang berminat mendapatkan produk kami,” katanya.
Program ini turut mendapat kerjasama EXCO Pembangunan Usahawan Selangor dan Selangor Youth Community, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh DYTM Raja Muda Selangor.
Usahawan-usahawan di Selangor perlu melalui dua peringkat penilaian dan pembentangan.
Manakala, pembentangan akhir diadili oleh barisan panel yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan dan eksport iaitu Raja Muda Selangor, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation, Rizal Nainy, Ketua Pegawai Strategi EXIM Bank, Dr Nurliza Mohd Mydin dan pakar eksport dari Malaysian Exports Academy, Wan Norma Wan Daud.
Ketiga-tiga pemenang bakal menerima tajaan penerbangan ke negara yang dipilih untuk tujuan promosi dan rundingan perniagaan, akses kepada pasukan perolehan, bimbingan khas secara individu untuk membantu usahawan merialisasikan impian eksport mereka, peluang imbuhan dan pelaburan perniagaan, rangkaian kolaborasi bersama agensi yang berkaitan, trofi dan sijil.