PUTRAJAYA, 29 Mei – Gangguan seksual boleh berlaku kepada semua golongan lapisan masyarakat. Sehubungan itu, salah satu usaha Kerajaan adalah menerusi penggubalan Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] sebagai platform alternatif di samping memperkukuhkan lagi perundangan sedia ada dalam menangani isu gangguan seksual seperti :-
(i) Kanun Keseksaan [Akta 574], iaitu satu Akta yang melindungi mangsa gangguan seksual di bawah undang-undang jenayah;
(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] yang digubal bagi melindungi dan memberi perlindungan yang lebih menyeluruh kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa kesalahan seksual;
(iii) Akta Kerja 1955 [Akta 265] yang melibatkan gangguan seksual di tempat kerja bagi sektor swasta. Pemakaian akta ini adalah terhad di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan; dan
(iv) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] yang berkaitan dengan gangguan seksual di tempat kerja bagi sektor awam.
Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] telah digubal sebagai satu manifestasi penting Kerajaan bahawa kesalahan gangguan seksual merupakan satu pelanggaran kepada hak asasi manusia. Penggubalan Akta ini menunjukkan bahawa Kerajaan amat prihatin dan serius dalam menangani isu gangguan seksual bagi memartabatkan peradaban dan ketamadunan rakyat Malaysia. Akta 840 merupakan suatu platform alternatif yang menyediakan remedi atau tebus rugi kepada mana-mana individu yang diganggu secara seksual menerusi penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual selain menggalakkan kesedaran dan pencegahan gangguan seksual.
Perkara ini ditegaskan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri semasa merasmikan Program Majlis Pelancaran Jerayawara Advokasi Antigangguan Seksual bertempat di Hotel Double Tree by Hilton Putrajaya Lakeside. Menurut beliau lagi, bagi meningkatkan pemahaman dan kesedaran masyarakat tentang perlakuan gangguan seksual dan kesan-kesannya terhadap mangsa, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah membangunkan Garis Panduan Pelaksanaan Program Advokasi Antigangguan Seksual yang merangkumi dua (2) pelan tindakan iaitu program advokasi bagi pencegahan gangguan seksual dan program advokasi bagi kesedaran gangguan seksual.
Beliau turut menyeru semua pihak sama ada agensi kerajaan, pihak swasta, badanbadan bukan kerajaan (NGO), institusi-institusi pendidikan, dan semua pihak yang terlibat supaya memberikan kerjasama penuh untuk memastikan Garis Panduan Pelaksanaan Program Advokasi Antigangguan Seksual ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Kerjasama semua pihak penting bagi menyokong dan mengguna pakai notis gangguan seksual yang telah dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk dipamerkan di premis masing-masing sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Antigangguan Sekual 2022 [Akta 840] dan Akta Kerja 1955. Garis Panduan tersebut boleh dimuat turun dari laman sesawang Jabatan Pembangunan Wanita di jpw.gov.my.
KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita akan melaksanakan program advokasi antigangguan seksual di premis awam dan tempat kerja serta di peringkat komuniti sepanjang tahun ini di seluruh negara. Objektif program advokasi ini adalah untuk memberikan pendidikan, meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap gangguan seksual.
Turut hadir pada majlis ini ialah YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM dan Yang Berusaha Dr. Wan Nur Ibtisam binti Wan Ismail, Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), KPWKM.