ILUSTRASI - Media massa. (Foto: Ist)

editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Pelbagai pihak termasuk individu berkepentingan mahukan perubahan lanskap media negara kepada lebih baik menerusi cadangan kerajaan merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC).

Ia termasuk mengesyorkan cadangan beberapa akta yang perlu dikaji semula agar pelaporan berita subur dan lebih segar yang boleh mengekang pengaruh politik seiring peredaran semasa.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) berharap dengan gerakan penubuhan MMC, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Rahsia Rasmi dapat diteliti dan dinilai semula.

Presidennya, Farah Marshita Abdul Patah berkata, NUJM berpendapat, dalam bergembira dan meraikan Hari Wartawan Nasional 2023 (Hawana2023), masih terdapat beberapa isu penting membabitkan kebajikan, kebebasan dan hak petugas media yang perlu dibincangkan serta diketengahkan.

Justeru, sempena Hawana2023 kali ini diharap menjadi pemangkin kepada usaha merealisasikan penubuhan MMC yang sudah lama diperjuangkan.

“NUJM berharap liberalisasi terhadap beberapa akta sedia ada diharap akan dapat dilakukan antaranya meminda Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan mengkaji semula Akta Rahsia Rasmi.

“Dengan melihat semula akta berkenaan, ia diyakini mampu mengekang pengaruh politik daripada mengawal media dalam membuat pelaporan berita,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Senada dengan NUJM, Malaysia Press Institute (MPI) juga mahu Akta Rahsia Rasmi diteliti semula yang disifatkan peruntukan mengongkong selain Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

MPI turut mencadangkan MMC meliputi media cetak, media elektronik (penyiaran) dan media internet.

MPI mengesyorkan keanggotaan MMC adalah dua pertiga pihak media (termasuk media kerajaan) manakala satu pertiga daripadanya tiada berkaitan media seperti ahli akademik, profesional dan orang ternama.

“Keanggotaan pihak media adalah terdiri daripada penerbit, editor dan wartawan.

“Oleh kerana negara ini mempunyai akhbar dalam pelbagai bahasa, perwakilan dalam majlis hendaklah mencerminkan keadaan ini. Kewartawanan internet atau siber juga akan diwakili,” demikian MPI menerusi laman sesawang rasminya.

MPI antara lain juga mencadangkan, MMC dipengerusikan oleh seorang hakim mahkamah persekutuan atau rayuan, sama ada sedang bertugas atau bersara.

Selain itu, MMC dibiayai oleh sumber negara iaitu Peruntukan Perbendaharaan dan badan media wajar menyumbang kepada majlis yang disalurkan melalui Parlimen.

Sementara itu, Wan Noor Hayati Wan Alias, satu-satunya wartawan mewakili Asia Tenggara ke Amerika Syarikat (US) yang mengikuti Kursus Kewartawanan Penyiasatan (International Visitor Leadership Programme) tajaan penuh negara kuasa dunia itu pada 2018, turut memberi pandangan berdasarkan pengalamannya di sana.

“Media di US bebas dan dilindungi oleh peruntukan Perkara Pertama Perlembagaan mereka selagi mereka memiliki fakta yang menyokong laporan.

“Tiada sesiapa yang boleh mencabar wartawan untuk disaman di mahkamah selagi mana ia laporan adil dan berfakta.

“Mereka menggalakkan laporan penyiasatan kerana ia membantu pihak berkuasa mereka menyelesaikan satu-satu kes.

“Berbeza dengan media di Malaysia yang amat berhati-hati dan takut khususnya laporan penyiasatan dan pembongkaran yang mendedahkan wartawan kepada disaman sehingga kualiti penulisan hilang.

“Semua ini seharusnya diteliti Majlis Media jika ia diwujudkan agar tidak menyekat kebebasan media di Malaysia,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan MMC dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang Mac tahun depan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, draf RUU MMC berada di peringkat perbincangan dalam kalangan organisasi media, syarikat berkaitan dan persatuan pengamal media.

Untuk rekod, Malaysia berjaya memperbaiki Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 dengan berada di kedudukan tangga ke-73 berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF), berbanding tangga ke-133 tahun lalu.