Teluk Intan, Perak – Sebanyak 12 buah Kolej Komuniti Malaysia telah berkampung di Teluk Intan untuk menjayakan Projek Alam Bina 2023 (ProAlBi 2023). ProAIBI merupakan program kali pertama yang berlangsung di Malaysia dan bertemakan “ALAM BINA DIDORONG INDUSTRI”.
Projek bermula pada 20 & 21 Jun 2023 (Selasa-Rabu) bertempat di Dewan Bandaran Teluk Intan. ProAlBi 2023 adalah Anjuran Bahagian Kurikulum Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti dengan kerjasama Kolej Komuniti Teluk Intan. Ianya merupakan penglibatan 5 program di bawah Unit Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti. Projek ini menerima penyertaan dari 25 pasukan dan 75 orang peserta.
Peserta Borneo dari Kolej Komuniti Kota Marudu, Sabah dan Kolej Komuniti Mas Gading, Sarawak. Manakala peserta dari Semenanjung dari Kolej Komuniti Temerloh, Kolej Komuniti Bandar Penawar, Kolej Komuniti Segamat, Kolej Komuniti Bentong, Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Kolej Komuniti Kuala Langat, Kolej Komuniti Teluk Intan, Kolej Komuniti Jelebu, Kolej Komuniti Selandar dan Kolej Komunitii Masjid Tanah.
Program ini telah dirasmikan oleh Encik Mohd Noor bin Shahudin, Pengarah Kanan Akademik, Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti (JPPKK). Semasa ucapan perasmian beliau menyatakan bahawa ini merupakan satu inisiatif untuk menggalakkan para pelajar kolej komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi khususnya dan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi amnya dalam membudayakan inovasi dan kreativiti. Penganjuran program seperti ini memberi pendedahan dan galakan kepada para pelajar dan pensyarah tentang kepentingan inovasi dan kreativiti. Ini adalah kerana, inovasi dapat meningkatkan kualiti kerja yang lebih baik, memberikan solusi yang berkesan kepada masalah yang timbul dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Inovasi tidak hanya dapat mempamerkan kecekapan dan kemahiran seseorang pelajar. Dari sudut pembangunan modal insan, ia melahirkan pelajar yang berdaya saing seiring dengan kemahiran yang diperolehi. Modal insan yang berkemahiran tinggi merupakan teras kepada ekonomi berpendapatan tinggi yang produktif dan lebih kompetetif untuk mengharungi cabaran di masa hadapan.
Program ini disertai oleh para pelajar dari program Unit Kejuruteraan Awam dan Alam Bina bagi mempamerkan penghasilan produk melalui matapelajaran projek yang telah dijalankan sewaktu menjalani pengajian pada semester tiga (3). Projek ini meguji kemahiran teori dan praktikal kepada semua pelajar-pelajar dalam penghasilan produk-produk untuk dipertandingkan. Saya yakin, dalam sepanjang proses penghasilan produk, pelbagai elemen kreativiti, pemikiran kritis, semangat keusahawanan telah dicungkil dan ditonjolkan.
Saya amat menggalakkan program dan aktiviti seumpama ini diadakan setiap tahun agar para pelajar diberi ruang dan peluang untuk mengetengahkan idea dan hasil ciptaan dan inovasi mereka supaya ia menjadi budaya kepada golongan generasi muda yang bakal menjadi pemimpin negara.
Buat para pendidik, selain daripada kita memastikan tahap penguasaan pelajar menepati aktiviti yang telah dirancang, pendidik berupaya melahirkan pelajar- pelajar yang berdaya saing, berakhlak mulia dan bersemangat waja melalui pendidikan berterusan, latihan kerja teknikal dan latihan semula kemahiran agar mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan teknologi baru. Dengan tindakan yang konsisten, ia dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berbakat bagi meningkatkan daya saing negara dan seterusnya dapat meningkatkan kemahiran dalam kalangan golongan muda agar dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja warga asing yang kurang berkemahiran, tambahnya lagi.