Oleh : Shahbudin Embun
Penganalisis Politik
Baru-baru ini seorang Ahli Parlimen dari pembangkang tidak begitu senang dengan program Temu Anwar yang mana Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pergi ke beberapa Instituisi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi menyantuni ribuan anak muda yang secara puratanya dihadiri oleh para mahasiswa dan mahasiswi.
Program Temu Anwar juga telah telah membuka peluang kepada para pelajar serta belia untuk berinteraksi dan menyuarakan pendapat terus kepada YAB Perdana Menteri. Segala soalan dan isu telah dijawab oleh Anwar yang turut sama-sama membincangkannya dengan secara terbuka dan santai.
Antara isu yang sering ditanya oleh mereka yang hadir ialah yang berkaitan dengan ekonomi, peluang pekerjaan, kesihatan, pendidikan serta isu-isu semasa. Bahkan ada yang meluahkan permasalahan yang mereka hadapi di IPTA masing masing. Kesemua yang hadir ini, berharap segala isu yang ditanya dan dibincangkan ini dapat didengari oleh pemimpin tertinggi negara dan diberikan perhatian yang lebih serius oleh pihak kerajaan.
Ramai yang tidak faham mengapa program yang sebaik ini mendapat tentangan. Bahkan, tidak kiralah siapa yang menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang, program seperti ini mesti diteruskan.
Ini juga menunjukkan yang pemimpin kita mesti berani berdepan dengan pelbagai isu termasuk yang sensitif, yang ditanya oleh golongan pelajar dan belia ini.Anwar tidak bersembunyi dari pelbagai soalan dan tidak menaburkan janji janji demi meraih populariti. Dalam hal ini, Anwar menjelaskan yang ada beberapa isu yang harus diteliti dan dibincangkan dahulu sebelum sesuatu keputusan itu dibuat.
Bagi haters yang tidak suka dengan apa yang dilakukan oleh Anwar akan sentiasa benci dan marah dengan apa-apa pun tindakan yang dilakukan oleh Anwar termasuk melakukan perkara dan usaha yang baik.
Antara alasan yang diberikan oleh mereka yang tidak suka melihat Anwar menyantuni para mahasiswa ini ialah merasakan ianya satu program yang tidak memberi manfaat. Mereka merasakan adalah lebih baik Anwar menumpukan perhatian pada soal soal memperbaiki dan memperkasakan ekonomi negara.
Mungkin pihak haters ini tidak nampak atau sengaja menutup mata akan pelbagai usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan yang telah merangka pelbagai program berkaitan ekonomi dan sedang melaksanakannya.
Tidak dapat dinafikan yang isu tentang pembangunan dan pemantapan ekonomi memerlukan banyak lagi usaha dan tindakan dan semuanya ini tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.
Namun apa yang pasti, kerajaan hari ini tidak berpeluk tubuh dan setiap hari ada sahaja yang dilakukan untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat dan negara umumnya. Bahkan dalam satu laporan baru-baru ini, Ekonomi Malaysia berkembang kukuh 5.6 peratus pada suku pertama 2023, disokong permintaan dalam negeri yang kukuh.Prestasi itu lebih baik berbanding pertumbuhan lima peratus yang dicatatka pada suku sama 2022.
Sungguhpun begitu, kerajaan pimpinan Anwar sedar yang tahun 2023 tetap merupakan tahun yang mencabar. Dalam beberapa laporan akhbar tempatan ada menjelaskan yang Tahun 2023 akan menjadi tahun yang mencabar bagi ekonomi Malaysia_ kerana pertumbuhan ekonomi diunjurkan lebih sederhana dan pada masa yang sama, kadar inflasi diunjurkan kekal tinggi.
Itu sebabnya para pelajar dan golongan belia perlu didedahkan dengan segala isu yang berkaitan ekonomi dan isu isu semasa. Dan Program seperti Temu Anwar merupakan platform yang terbaik untuk pihak kepimpinan tinggi kerajaan sama-sama membincangkannya dengan golongan muda hari ini yang akan mewarisi kepimpinan pada masa depan.