SHAH ALAM, 22 JUN 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor telah melancarkan satu (1) operasi hendap secara strategik bersama Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) membanteras aktiviti yang disyaki terlibat dengan urus niaga melibatkan barang kawalan bahan api diesel bersubsidi. Sasaran serbuan melibatkan premis stesen minyak dengan kenderaan yang datang membuat pengisian minyak diesel.

Tindakan operasi melibatkan kekuatan anggota KPDN Selangor seramai sebelas (11) orang dengan Kerjasama anggota PDRM sejumlah lima belas (15) orang untuk membanteras aktiviti yang disyaki terlibat dengan penyelewengan barang kawalan bersubsidi bahan api jenis diesel pada 19 Jun 2023 (jam 10.30 malam), di sekitar Shah Alam.

Operasi hendap ini adalah susulan daripada aduan yang diterima berhubung terdapat aktiviti pergerakan kenderaan jenis lori membuat pengisian minyak diesel secara berulang di stesen minyak yang diadu.

Susulan daripada aduan yang diterima, KPDN Selangor telah mengatur pasukan risikan untuk membuat surveillance ke atas premis yang diadu dalam tempoh dua (2) bulan. Hasil daripada risikan telah membawa kepada tindakan serbuan hendap ke atas stesen minyak yang disasarkan.

Semasa serbuan dilancarkan, berlangsung aktiviti pengisian minyak diesel oleh pemandu lori di stesen minyak yang diserbu. Hasil serbuan berjaya menghentikan aktiviti pengisian minyak diesel oleh tiga (3) buah lori (2 buah lori jenis bonded dan sebuah lori kontena). Kesemua pemandu lori tersebut berjaya ditahan dan aktiviti pengisian yang dilakukan berjaya dihentikan oleh pasukan serbuan.

Berdasarkan hasil pemeriksaan, Modus Operandi (MO) aktiviti ini dipercayai pelaku membuat pengisian di stesen minyak secara berulang antara enam (6) hingga sepuluh (10) kali satu hari untuk dihantar ke stor penyimpanan yang disyaki terletak berhampiran/ sekitar dengan stesen minyak berkenaan.

Susulan situasi tersebut, Pasukan Serbuan telah membuat pemeriksaan lanjut terhadap stesen minyak berhubung urus niaga bahan api minyak diesel yang mencurigakan. Suatu Arahan Pengisytiharan Stok dan Mengemukakan Maklumat/Dokumen di bawah Seksyen 8 AKB 1961 telah dikeluarkan kepada stesen minyak berkenaan termasuk kepada kesemua pemandu lori yang ditahan di tempat serbuan untuk membuat deklarasi stok/ bekalan minyak diesel yang sedang diurus niaga.

Pasukan serbuan telah menahan Orang Yang Disiasat (OYDS) seramai lima (5) orang lelaki, empat (4) daripadanya dipercayai sebagai pemandu lori berstatus warganegara dan seorang sahaja warganegara asing yang disyaki pekerja di stesen minyak yang diserbu.. Kesemuanya telah mendapat perintah reman daripada Mahkamah selama empat (4) hari bermula pada hari tangkapan dibuat untuk tujuan proses siasatan oleh Pegawai Penyiasat. OYDS yang direman berumur di antara 25 sehingga 30 tahun. Rakaman Percakapan Pengurus stesen minyak juga telah diambil bagi keperluan siasatan.

Tindakan sitaan melibatkan tiga (3) buah lori yang ketiga-tiganya telah diubah suai iaitu dua daripadanya, masing-masing dipasang di dalam badan lori Skid Tank (tempat menyimpan bahan api) berkapasiti 10,000 liter dan 20,000 liter, manakala sebuah lori lagi telah dimasukkan empat (4) unit Intermediate bulk containers (IBC) tank untuk menyimpan bahan api. Peralatan seperti hos dan pam penyedut serta dokumen relevan yang ditemui di dalam lori-lori turut disita untuk tujuan siasatan. Dokumen perniagaan stesen minyak juga turut disita bagi keperluan siasatan.

Nilai sitaan melibatkan cecair disyaki barang kawalan bersubsidi minyak diesel dianggarkan berjumlah RM29,674 untuk anggaran keseluruhan cecair yang berjumlah 13,802 liter. Nilai sitaan bagi keseluruhan kes melibatkan barang kawalan termasuk kenderaan yang dirampas dianggarkan mencecah RM250,000.

Siasatan adalah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 ke atas pemilik stesen minyak kerana melanggar Peraturan 12A kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menjual diesel kepada kenderaan melebihi 250 liter seperti yang ditetapkan oleh Pengawal Bekalan.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi Satu Juta Runggit Malaysia (RM1,000,000.00) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta ini.

KPDN Selangor menegaskan pihaknya, akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang yang dikuatkuasakan di bawah KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan ke atas barangan bersubsidi yang merupakan antara salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga.

KPDN Selangor juga meminta pengguna untuk menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan perlakuan perdagangan domestik dan di saluran rasmi berikut :
i. Whatsapp 019-2794317/ 019-8488000
ii. Portal e-aduan KPDN
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
v. Ez ADU KPDN
vi. Bilik Gerakan KPDN Selangor (setiap hari 8.00 pagi-6.00 petang) 03 5514 4393

Leave a Reply