KUALA LUMPUR – Penyanyi bersuara merdu Indonesia yang pernah mencipta fenomena di Malaysia, Afgan bakal kembali menggegarkan Kuala Lumpur menerusi Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Plenary Hall, KLCC pada 2 Disember depan.

Atas permintaan peminatnya di sini, penganjur konsert, Renjana Idea menunaikan impian dengan membawakan secara eksklusif Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza ke Kuala Lumpur.

Berbeza dengan konsert sebelum ini, pada Afgan Live In Concert With MPO bakal menyaksikan Afgan menyanyikan lagu-lagu popularnya.

Menariknya juga, turut menghiburkan peminat adalah penyanyi jemputan yang bakal diumumkan penganjur kelak.

Afgan yang baru selesai menjayakan konsert Afgan Evolution Live In Jakarta, semalam berkata, dia teruja dan tidak sabar untuk kembali ke Malaysia bagi menghiburkan peminatnya.

“Tidak dinafikan, Malaysia ibarat rumah kedua saya dalam berkarya. Setiap lagu saya diterima baik dan mendapat sambutan menggalakkan oleh peminat.

“Apatah lagi setiap kali saya menjayakan konsert di Malaysia, peminat tidak henti-henti memberikan sokongan. Itu satu penghormatan buat saya.

“Sejujurnya, saya juga tidak menjangka penganjur sekali lagi memilih saya untuk mengadakan konsert selepas Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu. Namun, saya percaya mereka ada alasan tersendiri. Selain saya juga senang bekerjasama dengan mereka.

“Apa boleh dikatakan, untuk Afgan Live In Concert With MPO ini, ia sesuatu yang cukup mengujakan kerana buat pertama kali saya bekerjasama dengan pemuzik daripada MPO. Apabila dimaklumkan mereka bersetuju untuk menjayakan konsert ini, bagi saya ‘it’s amazing’!. Tidak sabar rasanya untuk menghiburkan peminat nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Renjana Idea, Aliya Arisya Anuar berkata, pihaknya berbesar hati kerana Afgan sekali lagi menerima pelawaan dan bersetuju untuk menjayakan konsert di sini.

“Kali ini kita mahu memberikan kelainan pada konsert Afgan. Tidak seperti dulu yang mana tahun ini persembahan Afgan akan diiringi oleh MPO. Saya pasti deretan lagu popular Afgan itu menjadi lebih hebat dengan iringan pemuzik MPO.

“Jadi, kepada semua yang tak dapat nak menyaksikan konsert sebelum ini, jangan lepaskan peluang untuk hadir pada Afgan Live In Concert With MPO. Kami menjanjikan persembahan hebat daripada Afgan,” katanya.

Kejayaan konsert Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu menjadi penanda aras baharu Afgan untuk terus berkarya dan menghiburkan peminat setianya dengan penganjuran konsert akan datang itu.

Bintang Indonesia itu, 34, di awal kemunculannya, berjaya memukau pencinta muzik dengan deretan lagu yang dihasilkan sehingga mengecap kejayaan luar biasa di negara kelahiran dan luar negara.

Selain lagu, kualiti vokal dimiliki membuatkan ramai yang kagum dan jatuh cinta.

Seiring kematangan usia pembabitannya dalam industri muzik Indonesia yang sudah mencecah 15 tahun, Afgan juga menjadi antara penyanyi yang kerap mengadakan konsert solo termasuk di Malaysia.

Tiket menyaksikan konsert Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) mula dijual pada 5 Julai 2023, jam 10 pagi, di GOLIVE-ASIA.COM

Harga tiket bermula RM1488 (Lestari Merdu); RM998 (Panah Asmara); RM888 (Lenggang Puspita); RM588 (Heaven); RM338 (Knock Me Out); RM298 (M.I.A) dan RM258 (Bawalah Cintaku).