editor@aatvnews.com

SHAH ALAM – Rentetan kejayaan program maulid tahun lalu, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) kembali menganjurkan program sama yang akan berlangsung pada 17 September depan di Shah Alam Convention Centre (SACC).

Menerusi majlis makan malam amal Malam Agungnya Cinta yang dianjurkan, ia mengetengahkan konsep ‘Kasihnya Baginda Kepada Anak-Anak Yatim’.

Pengerusi malam amal merangkap ahli lembaga pemegang amanah YIDE, Datuk Seri Muhamad Khanafi Hussin berkata, progam ini bakal mengabungkan elemen-elemen penceritaan dan persembahan nasyid islamik kontemporari yang turut menampilkan barisan artis baharu dan lama yang akan membuat persembahan pada malam berkenaan.

 Antaranya lagenda nasyid tanah air iaitu Hijjaz, UNIC serta Naim Daniel.

“Konsep penceritaan yang akan dibawakan adalah berkisar kisah Nabi Muhammad SAW yang mana Baginda juga adalah anak yatim dan Baginda begitu kasih dan cinta kepada anak-anak yatim ini.

“Menariknya penceritaan ini akan diolah sendiri oleh Ikon Mahabbah YIDE, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan disertai oleh Pencetus Ummah Akram Ikrami.

“Alhamdulillah pada hari program ini dilancarkan kita sudah berjaya mendapat 16 penaja bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada projek pembangunan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah dan setakat ini sebanyak RM145,000 berjaya dikumpul di mana kita menyasarkan kutipan sebanyak RM400,000 untuk malam amal berkenaan,” katanya.

Muhamad Khanafi berkata, pihaknya turut mengalu-alukan mana-mana pihak atau individu untuk tampil menyertai malam amal yang bakal diadakan.

“Alhamdulillah satu permulaan yang positif apabila sebanyak 16 meja sudah berjaya dijual.

“Setiap meja mempunyai 3 pakej korporat yang diperkenalkan bermula dengan harga RM 5,000 (Warahmah), RM 10,000 (Mawaddah) dan juga RM 20,000 (Sakinah).

“Kepada penaja yang membeli meja dan akan hadir ke malam amal itu nanti, mereka akan bersama dengan anak-anak yatim di meja berkenaan dan ianya adalah bagi mengukirkan senyuman kepada anak-anak yatim yang diundang khas.

“Bagi individu pula harga adalah RM499 untuk satu kerusi. Harapan kami dengan dana yang berjaya dikumpul dapatlah kiranya kerja-kerja awalan seperti pembersihan kawasan tapak dapat segera dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap program amal berkenaan bakal menjadi acara tahunan dalam usaha merancakkan program amal dengan pengisian kisah nabi dan persembahan nasyid.

By Cynthia

Leave a Reply