editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Sangat mencintai kekasih sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi kebahagiaannya, itulah kisah yang diterjemahkan dalam lagu terbaharu penyanyi dari Indonesia, Rizky Febian berjudul Berona.

Lagu ini ditulis sendiri oleh Rizky dan ia adalah lagu pertama dari album keduanya yang akan dilancarkan pada Jumaat ini, 21 Julai.

Berona adalah lagu berdasarkan pengalaman mereka yang sangat mencintai pasangan sehingga sanggup mengorbankan apa sahaja demia kehidupan bersama.

“Saya berharap lagu Berona ini dapat mewakili perasaan pendengar dan boleh dinikmati oleh semua pencinta muzik Indonesia dan negara jiran berdekatan,” katanya.


Video muzik Berona juga akan dilancarkan pada hari sama dengan tarikh pelancaran album. Konsep video muziknya menceritakan seorang jejaka yang dilahir dan dibesarkan
di sebuah kawasan kampung pedalaman dan jatuh cinta dengan seorang gadis.

Walaupun mereka akhirnya bersatu, kekasihnya meninggalkannya untuk berhijrah ke bandar. Dia menunggu
khabar dari kekasihnya itu namun tidak mendapat sebarang perkembangan sehingga dia pergi mencarinya di kota.

Selepas melewati pelbagai halangan dia akhirnya bertemu kekasihnya. Namun pertemuan itu bukanlah seperti yang diharapkan, kerana dia melihat kekasihnya bersama seorang jejaka lain.

Ini membuat keyakinannya pudar dan hilang arah. Sambil memikirkan nasibnya di pinggir jalan, dia menerima bantuan dari seorang lelaki yang ingin membantunya.

Video muzik ini adalah kisah permulaan buat konsep video muzik lagu-lagu dalam album Berona. Video muzik kedua bakal dilakonkan oleh beberapa pelakon dan pelawak dengan pembabitan Rizky Febian sebagai watak tritagonis.

Rizky adalah seorang penyanyi pop yang sudah lama berjaya dalam menghiburkan peminat muzik Indonesia sejak tahun 2015 menerusi lagunya yang berjudul Perfection of Love.

Kini, Rizky berada di bawah syarikat rakamannya sendiri yang bernama RFAS Music, yang ditubuhkan pada tahun 2020.

EP pertama yang mereka hasilkan adalah Garis Cinta, yang terdiri daripada tiga karya hebat iaitu Makna Cinta, Cuek dan Mantra Cinta.

Ketiga-tiga lagu ini mempunyai lebih daripada 50 juta tontonan di laman YouTube peribadi Rizky Febian.

Sejak penubuhan RFAS Music, Rizky Febian dan pasukannya telah berjaya mengadakan tiga konsert.

Konsert pertama pada tahun 2020 di Bandung, kedua sewaktu pandemik pada tahun 2021, serta sebuah konsert antarabangsa di Kuala Lumpur pada 2022.

Kini, Rizky serta pasukannya di RFAS Music sedang menyiapkan album keduanya dan juga konsert luar negara.

Single Berona boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak 11 Julai lalu.

Manakala, video muzik Berona akan mula ditayangkan pada 21 Julai ini secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Rizky Febian.

By Cynthia

Leave a Reply