editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Sesuai dengan konsepnya, penyanyi popular Indonesia, Datuk Seri Rossa membuka tirai konsert Another Journey : The Beginning dengan begitu mengujakan dan menghiburkan.

Dikenali seorang yang ramah dan suka berbual, konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada minggu lalu itu penuh dengan pelbagai kisah yang diceritakan oleh Rossa untuk setiap lagunya.

Keletahnya kadang-kadang membuatkan penonton asyik sehinggakan setiap kali menyanyi semua turut sama mengikut.

‘Another Journey’ dan ‘The Beginning’ bagaikan rencah yang bersatu pada konsert yang berlangsung selama dua malam itu.

Pada konsert malam kedua, Mahalini Raharja dan Zareef Sein menjadi artis jemputan yang mempersembahkan lagu-lagu popular masing-masing.

Hampir semua lagu-lagu Rossa lebih kepada percintaan namun Rossa mengakui ia lebih kepada mengajak pendengar untuk mengambil perkara yang positif daripada setiap lagu yang dipersembahkan.

Asyik berkongsi kisah untuk setiap lagu yang dipersembahkan, Rossa sekali lagi terlepas memberitahu kepada penonton yang hadir dia pernah mempunyai kekasih yang berasal dari Malaysia.

“Aku pernah punya pacar orang Malaysia, tapi aku tahu malam ini dia tidak ada di sini dan aku sempat bikin lagu untuknya,” katanya.

Meksipun jodoh mereka tidak panjang, penyanyi cantik itu yakin dengan aturan yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT dan dia lebih sibuk untuk fokus terhadap bidang seni.

Tampil lincah dalam tiga busana menarik, Rossa mempersembahkan lagu-lagu popularnya seperti Malam Pertama, Hey Ladies, Atas Nama Cinta, Ayat-Ayat Cinta, Terlalu Cinta, Aku Bukan Untukmu.

Tidak ketinggalan lagu seperti Tegar, Hati Yang Kau Sakiti, Sekali Ini Saja, Pudar dan banyak lagi.

Hampir dua jam menghiburkan penonton yang memenuhi segenap panggung, ia cukup memberi kepuasan buat mereka yang hadir.

Apatah lagi kehadiran penyanyi jemputan iaitu Rizky Febian dan Betrand Putra Onsu yang mana masing-masing mempersembahkan lagu Kesempurnaan Cinta, Cuek, Takkan Berpaling Darimu dan Ku Menunggu turut menghiburkan penonton.

Konsert Another Journey : The Beginning adalah siri konsert Dream Festival Collaboration Vol 3 yang turut mengadakan siri jelajahnya di beberapa negara seperti Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Nama konsert ini juga digunakan sempena album terbaharu Rossa yang dilancarkan pada Februari lalu.

Lagu baharu daripada album berkenaan yang dipersembahkan pada malam konsert ialah Sekali Ini Saja, Wanita, Masih dan Terlalu Berharap.

By Cynthia

Leave a Reply